
BOLU: Jumlah kematian akibat insiden kebakaran di sebuah resort di pergunungan Bolu, Turkiye kini meningkat kepada 76 orang. Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan bahawa ketika kejadian, seramai 238 tetamu sedang menginap di hotel tersebut.
“Daripada 76 nyawa yang terkorban, 52 mayat telah dikenal pasti di Bolu dan sehingga kini, 45 daripada warganegara kita yang meninggal dunia telah diserahkan kepada keluarga mereka.
“Kami masih belum dapat menjalankan kerja-kerja pengecaman terhadap yang selebihnya. Kerja pengecaman dan pengesanan DNA sedang dijalankan di institusi perubatan forensik,” katanya.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan ujian DNA untuk mengenal pasti beberapa mayat yang dijumpai di tempat kejadian kebakaran. Siasatan sedang dilakukan mengenai kebakaran itu yang berlaku semasa cuti sekolah ketika ramai keluarga dari Istanbul dan Ankara mengunjungi pergunungan Bolu untuk bermain ski.
Polis telah menahan sembilan individu sebagai sebahagian daripada siasatan, kata Yerlikaya, sambil menambah bahawa pendakwa raya akan menerangkan punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.