
Kawasan sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dijangkakan mungkin akan berdepan kesesakan mulai Jumaat hingga Ahad ini selepas beberapa acara besar dilaporkan akan diadakan di sekitar kawasan tersebut.
Kesesakan yang mungkin berlaku antaranya bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC.
Perlawanan yang dijadualkan pada jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil itu juga bertembung dengan tiga acara besar yang lain di sekitar kawasan tersebut.
Tiga acara tersebut adalah Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja dan Raptai Akhir Konsert Gegar Vaganza.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 8 Disember sehingga 10 Disember.
Difahamkan, program ini akan berlangsung di tapak parkir A dan B di sekitar Stadium Bukit Jalil tersebut.
Manakala Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja sudah pun berjalan sejak 5 Disember lepas dan akan berakhir pada 16 Disember ini. Kejohanan berkenaan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Satu lagi acara, Raptai Akhir Gegar Vaganza All Stars dijadualkan berlangsung di Stadium Axiata Arena pada Jumaat ini. Siaran langsung program tersebut akan ke udara pada Ahad, iaitu 10 Disember.
Guna perkhidmatan LRT bagi mengelakkan kesesakan
Oleh itu, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang melampau, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) yang disediakan.
Sebelum ini, Rapid KL telah mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada Jumaat, 8 Disember ini.
Selain itu, Rapid KL juga memaklumkan bahawa pengguna yang menggunakan token dan Touch n Go bakal mendapat diskaun sebanyak 25 peratus. Ia termasuk penggunaan perkhidmatan rel dan BRT pergi atau balik dari Stesen LRT Bukit Jalil.
“Semua penumpang yang membeli token atau yang menggunakan kad Touch ‘n Go untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil. Atau dari Stesen LRT Bukit Jalil untuk pulang layak menikmati diskaun tersebut,” tulis pengumuman tersebut.
Dalam pada itu, perkhidmatan bas perantara percuma sebanyak 10 buah bas ke perkarangan Stadium juga akan disediakan bagi memudahkan penumpang.