
Berbisa dan sangat menakutkan, kalau ternampak di mana-mana pasti akan melarikan diri walaupun pada asasnya tidak takut dengan mana-mana haiwan atau reptilia di dunia.
Itu adalah gambaran yang tepat apabila individu terjumpa dengan spesies ular lebih-lebih lagi, king cobra atau dikenali ular tedung di mana-mana kawasan terutamanya hutan.
Walaupun tidak mempunyai kaki, tetapi pergerakannya lebih laju apabila ia mahu menerkam mangsa dengan cara membelit badannya.
Jarang sekali kita mendengar bunyi ular tersebut dan ia menjadi salah satu sebab kenapa mangsa selalu tewas apabila bertemu dengannya.
Ini rupanya bunyi ular tedung
Kalau berada di dalam hutan, bagaimana nak pastikan keselamatan diri terjaga memandangkan tidak pernah mendengar bunyi ular?
Tak perlu risau kerana Resident Naturalist Rasa Ria Reserve by Shangri-La di Kota Kinabalu, Sharon (@p.sharon.j) berkongsi tentang bunyi ular di TikTok miliknya.
Dalam video perkongsiannya, dia berkata ular tedung tidak mengeluarkan bunyi ayam berkokok seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jelasnya, bunyi ular tedung lebih kepada mendengus seperti menahan rasa marah atau geram.
“Ular tedung punya bunyi bukan macam itu (bunyi ayam), bunyi ular tedung macam sedang mendengus, yang dikeluarkan daripada paru-paru.
“Tetapi kalau bunyi ayam, bunyi berkokok, bunyi burung dan bermacam lagi itu bukan ular tedung,” jelasnya.
Menurutnya, bunyi mendengus itu hanya dikeluarkan kerana ia mahu menerkam mangsa dan menunjukkan tanda-tanda sedang lapar.
“Ular tedung adalah ular yang besar, berbisa dan juga paling besar dan paling panjang di dunia serta sangat berbisa.
“Cuma bisa ular tedung itu, ia hanya gunakan semasa mahu makan sahaja jadi ia tidak gunakan bisanya sepanjang masa.
“Ada lubang yang membolehkan ia berbunyi begitu yang mendengus. Ia buat bunyi kerana mahu bagi ‘warning’ untuk beritahu ‘saya sangat berbisa’,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa ular juga banyak mengeluarkan bunyi selain daripada mendengus.
Antara bunyi yang dikeluarkan ialah bunyi daripada sisik memandangkan ia tiada kotak suara.

“Ular tidak akan mengeluarkan bunyi ayam sebab ia tiada kotak suara. Ular boleh hissing, ada juga ular yang boleh keluar bunyi dari ekornya (bunyi seperti mesin).
“Ular pun boleh buat bunyi daripada kulit apabila ia menggesek sisiknya bunyi macam ini (seperti bunyi geseran pada pasir).
“Ular tedung tidak kira masih kecil atau sudah dewasa atau bertelur dan mengawan, ia tidak akan mengeluarkan bunyi ayam,” jelasnya.
Menurutnya, dia tidak pakar dalam reptilia tersebut tetapi pelajarinya daripada pakar, buku dan juga Internet.
“Tanya dengan orang yang membela ular tedung, tiada (ular) yang buat bunyi seperti ayam,” ujarnya.
Nak tahu macam mana bunyi ular seperti yang dijelaskannya, boleh rujuk pada video di bawah ini: