
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II menyatakan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sebelum merasionalisasikan subsidi bagi RON95.
“Kita fokus kepada (penyasaran) subsidi diesel dahulu dan bila sudah stabil, kita boleh tengok apa lagi yang kita kena buat,” katanya ketika ditanya mengenai tempoh pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilakukan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana Bank Negara Malaysia di sini, pada Rabu.
Pada Ahad, Amir Hamzah mengumumkan bahawa harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia telah ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu mengikut harga pasaran tanpa subsidi yang berkuatkuasa bermula pukul 12:01 tengah malam.
Beliau menjelaskan bahawa harga tersebut adalah hasil daripada purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Sumber: BERNAMA