
Ketika acara separuh akhir perlumbaan 200 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia terdapat kejutan apabila penyertaan pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan disebabkan oleh ‘false start’ atau salah mula.
Perlumbaan separuh akhir di Stadium Darul Makmur di sini sepatutnya bermula pada pukul 6 petang tetapi ditangguhkan hingga pukul 9 malam disebabkan oleh hujan.
Acara akhir yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam kemudian menyaksikan atlet ATM Jonathan Nyepa meraih tempat pertama dengan catatan masa 21.28 saat, diikuti oleh atlet Australia Jack Boulton (21.33 saat) dan atlet Pahang Muhammad Efrain Feerzan Khan di tempat ketiga (21.55 saat).
Muhammad Azeem ketika ditemui menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku di luar kawalannya.
“Apa yang berlaku ini atas kesalahan saya, saya sendiri tak sabar, tak ada rezeki saya untuk acara ini dan kini saya fokus untuk acara 100 meter,” kata atlet kelahiran Perak itu.
Pelari muda berusia 20 tahun itu merupakan pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini adalah 10.24 saat ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lepas.
Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10 saat untuk layak secara merit.
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar termasuk Australia dan Rusia.
Sumber: BERNAMA