
Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menyatakan kekecewaan terhadap kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi terkenal Malaysia dalam konsert ‘Hitman Returns – David Foster and Friends’ yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Sabtu ini.
Menurut gerakan tersebut, David Foster, penganjur konsert yang terkenal dikenali sebagai penyokong kuat rejim Zionis. Dia juga sering terlibat dalam inisiatif pengumpulan dana bagi Tentera Israel melalui acara yang dianjurkan oleh Friends of Israel Defence Forces (FIDF).
“Dalam keadaan sekarang di mana lebih daripada 36,000 rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis Israel semenjak 7 Oktober 2023 dan masih terus melakukan pembunuhan kejam di Gaza dan Tebing Barat.
“Keputusan Datuk Seri Nurhaliza untuk menyertai pertunjukan yang dianjurkan oleh David Foster adalah sangat mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Penyanyi nombor satu negara itu sebelum ini dilapor pernah berkongsi pentas dengan penerbit dan komposer terkenal, David Foster menerusi Konsert Eksklusif ‘Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023’ di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.
BDS Malaysia menyeru semua pihak, termasuk artis, ahli perniagaan, ahli sukan, kerajaan dan rakyat untuk menunjukkan lebih banyak kesedaran terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Mereka menegaskan bahawa tindakan minimum yang patut dilakukan ialah memboikot rejim Zionis serta individu dan organisasi yang terlibat secara langsung dalam penindasan di Palestin.