
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang berpotensi berlaku di 10 negeri sehingga malam ini.
Menurut agensi tersebut, amaran ini termasuk bagi negeri Perlis, Pulau Pinang serta beberapa daerah di Kedah seperti Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Selain itu turut berlaku di Perak melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar; Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin) dan Johor (Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Terdapat beberapa kawasan di Sarawak turut terlibat iaitu Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang manakala di Sabah melibatkan Sipitang, Tenom dan Beaufort serta Sandakan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mili meter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Orang ramai boleh melayari laman web MetMalaysia www.met.gov.my untuk mengetahui maklumat terkini berkaitan cuaca.