
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengumumkan bahawa pasukan pentadbiran telah tiba di Gaza pada hari Khamis untuk membantu mengaktifkan semula perkhidmatannya.
Menurut PRCS, tugas utama pasukan ini adalah untuk menyediakan semula Hospital Al-Quds di Bandar Gaza selepas sistem perubatan mereka mengalami keruntuhan.
Pasukan ini juga bertujuan untuk mengaktifkan perkhidmatan bantuan dan mengurangkan kesan pencerobohan yang dialami oleh penduduk Gaza.
Delegasi ini dipimpin oleh Pengarah Eksekutif mereka, Dr Haidar Al-Qudra serta beberapa kakitangan khas.
Terdahulu, persatuan itu menyatakan bahawa pihaknya berjaya menghantar kira-kira 11 tan daging dari Tebing Barat ke Semenanjung Gaza, untuk diagihkan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan terjejas di tengah dan selatan Gaza.
Sukarelawan PRCS akan mengagihkan daging selama tiga hari berturut-turut kepada ribuan keluarga dengan penyelarasan dibuat bersama badan dan jawatankuasa komuniti tempatan, untuk meringankan penderitaan rakyat di Gaza.