Umum

Krisis Kelunturan Terumbu Karang: Langkah Tegas DOF di Kawasan Taman Laut

Kelunturan terumbu karang hingga kelihatan putih dan tak bernyawa seperti ini dibimbangi semakin banyak berlaku di perairan negara.

Isu kelunturan besar-besaran terumbu karang di negara ini disebabkan oleh ‘mass coral bleaching’ yang berpunca daripada peningkatan suhu permukaan laut boleh memberikan implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan industri pelancongan di Malaysia.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyatakan dalam kenyataan hari ini bahawa masalah ini dikenal pasti menerusi bantuan dan laporan yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba, penyelam skuba serta pemantauan kelunturan karang yang dilakukan oleh NGO dan penyelidik tempatan.

DOF juga sedang memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut susulan lebih 50 peratus terumbu karang terjejas dan berdasarkan tinjauan dijalankan dari April hingga Jun, antara kawasan itu ialah Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Pemanggil, Johor.

“Kebanyakan terumbu yang terjejas berada di perairan cetek kurang 10 meter. Tapak ini sedang dipantau rapi oleh DOF dan pelbagai pihak untuk mengesan perubahan dalam situasi kelunturan,” menurut kenyataan itu.

Kelunturan karang adalah merupakan tindak balas semula jadi karang terhadap tekanan alam sekitar sehingga menyebabkan batu karang menjadi putih manakala kelunturan secara besar-besaran merujuk kepada kelunturan berskala besar pelbagai spesies batu karang di kawasan luas disebabkan kenaikan suhu air laut melebihi paras purata normal suhu tahunan dalam tempoh berpanjangan.

Mengenai tindak balas menangani perkara itu, DOF bekerjasama dengan wakil dari Sabah dan Sarawak serta penyelidik tempatan dan NGO untuk menubuhkan Malaysia Coral Bleaching Response Committee (MCBRC) bagi mengumpul maklumat dan mengambil tindakan terhadap kelunturan karang.

“Jika kelunturan melebihi 80 peratus, tindakan intervensi lanjut pengurusan mungkin termasuk sekatan akses sementara untuk melindungi terumbu yang terjejas.

“Bagaimanapun, DOF memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa seboleh-bolehnya, gangguan kepada aktiviti pelancongan yang disebabkan oleh intervensi pengurusan ini akan diminimumkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOF ia untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh terumbu yang sudah lemah bagi memastikan kelangsungan hidup organisma marin pada masa depan.

DOF turut menggesa semua pihak melaporkan sebarang kemunculan kelunturan karang serta menyeru penglibatan awam untuk membantu bersama-sama meminimakan kesan kelunturan karang.

Pengusaha pelancongan di pulau-pulau Taman Laut juga digalakkan mengawal jumlah pelancong yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air bagi mengurangkan tekanan ke atas terumbu karang.

“Pelancong harus mengelak kawasan yang sesak dan sebarang sentuhan fizikal terhadap batu karang semasa aktiviti air, mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai, membuang sisa sampah dengan betul dan melaporkan penemuan kelunturan karang kepada DOF atau pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Proses pemulihan karang yang mengalami kelunturan boleh mengambil masa beberapa minggu sehingga beberapa bulan, namun usaha pemantauan akan dijalankan secara berterusan.

“Pelan tindakan telah disediakan dan maklumat lanjut akan diberikan apabila ia tersedia,” menurut kenyataan itu.

Kepentingan ekonomi dan ekologi terumbu karang adalah untuk menyediakan habitat dan tempat pembiakan sehingga satu pertiga daripada spesies marin dan menurut kajian DOF, nilai ekonomi Taman Laut yang sebahagian besar dikelilingi ekosistem terumbu karang berjumlah RM8.7 bilion setahun melalui pelbagai perkhidmatan ekosistem.

Sumber: BERNAMA

Related posts
Umum

PDRM Guna Teknologi 3D Untuk Siasatan Semula Kes Teoh Beng Hock

Mohd Shuhaily keluar dari bangunan selepas melawat semula tempat kejadian siasatan kes Teoh Beng…
Read more
Umum

AI Seperti DeepSeek Dorong Pertumbuhan Pusat Data di Malaysia

Gobind Singh berucap pada majlis pelancaran teknologi 5G Advanced pertama Malaysia di portal my5G…
Read more
Umum

Anwar Ibrahim Terima Kunjungan Hormat Dr Omar Suleiman di Parlimen

Anwar menerima empat kunjungan hormat, termasuk dari Omar (gambar) di Bangunan Parlimen, Kuala…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *