
Mohd Ali Kamarudin, yang dikenali sebagai bekas vokalis Exist mengakui rasa lega kini setelah dua kes dadah yang mengganggunya sebelum ini selesai di mahkamah pada hari Isnin.
Beliau menambah bahawa langkah seterusnya adalah untuk melangkah ke hadapan dan memulakan kehidupan baru.
“Alhamdulillah, lapang dada saya selepas selesai semua masalah ini. Syukur kepada ALLAH SWT dan keluarga yang banyak membantu dan memberi sokongan, ia memberi kesabaran buat saya ketika berada di dalam (penjara).
“Tidak lupa juga kepada peminat-peminat yang mendoakan yang terbaik untuk saya, tunggu saya untuk membuat kemunculan selepas ini,” katanya ditemui pemberita di pekarangan mahkamah pada Isnin.
Mamat sebelum ini mengakui bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan dan di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki dadah pada hari Isnin.
Bagi kedua-dua kesalahan yang dilakukan pada 2019 itu, penyanyi tersebut didenda RM5,000. Mahkamah kemudian memerintahkan beliau untuk menjalani pemulihan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Bentong, Pahang.
Mamat berkata, sepanjang berada di dalam penjara banyak pengalaman dilalui yang mengajarnya untuk mensyukuri kehidupan insan-insan yang berada di sekelilingnya.