
Penyanyi pop terkenal dunia, Celine Dion dilaporkan akan menerima bayaran AS$2 juta (RM9.34 juta) untuk sebuah lagu semasa Majlis Pembukaan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung pada hari Jumaat ini.
Dion juga dijangka akan tampil di pentas semasa majlis berprestij tersebut, menandakan persembahan pertamanya sejak didiagnosis dengan Stiff Person Syndrome (SPS) pada tahun 2022.
Penyanyi dari Kanada ini baru-baru ini tiba di Paris menjelang Sukan Musim Panas dan merancang untuk membuat persembahan semasa perarakan 85 buah bot di sepanjang sungai Seine yang berakhir berhampiran Trocadéro dengan pemandangan Menara Eiffel.
Celine Dion juga akan membuat satu lagi persembahan dan menerima bayaran AS$2 juta. Pihak penganjur juga menanggung kos perjalanan dan penginapan di hotel mewah Le Royal Monceau berhampiran Champs-Élysées.
Selain itu, penyanyi Lady Gaga dan Dua Lipa dijangka turut membuat persembahan semasa acara tersebut.
Dion yang berusia 56 tahun telah berikrar awal tahun ini untuk kembali ke pentas dan kediamannya di Las Vegas.
Sebelum ini, beliau pernah mempersembahkan lagu “The Power Of The Dream” semasa Majlis Perasmian Sukan Olimpik Musim Panas 1996 di Atlanta yang disaksikan oleh 3.5 bilion penonton di seluruh dunia.