Hiburan

Zulkarnain Azhar Tegaskan Filem Takluk: Lahad Datu Tidak Mengaitkan Mana-mana Pihak

Antara adegan menarik dalam Takluk: Lahad Datu

Pengarah filem Takluk: Lahad Datu, Zulkarnain Azhar menegaskan bahawa beliau hanya menggunakan peristiwa di Lahad Datu sebagai sumber inspirasi tanpa mengaitkan mana-mana pihak.

Langkah ini diambil untuk memastikan filem yang dibintangi oleh Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan Mustaqim Bahadon ini bebas daripada sebarang kontroversi dan masalah pada masa akan datang.

Ujar Zulkarnain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memantau penghasilan filem berkenaan dan meletakkan beberapa syarat.

“Kita tidak buat ikut bahasa tertentu atau paparkan nama sebenar pengganas kerana tidak mahu menggores perasaan atau menimbulkan kemarahan mereka sehingga mencetuskan kontroversi.

“Antaranya perkara yang diingatkan adalah tiada satu pun bendera Sabah, sebarang bahasa negeri itu mahupun nama sebenar pihak musuh digunakan sepanjang pembikinan filem.

“Jadi kita hanya jadikan inspirasi daripada situasi berlaku, watak dan nama difiksyenkan, cuma gambaran situasi itu saja kami ikut gambaran sebenar,” katanya.

Zulkarnain berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Takluk: Lahad Datu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pengarah yang sebelum ini menghasilkan J Revolusi dan Air Force: The Movie – Selagi Bernyawa itu menambah bahawa objektif utama penghasilan Takluk: Lahad Datu adalah untuk memberi penghargaan kepada semua wira yang telah berjuang mempertahankan negara.

“Kita tidak mahu mengagungkan tindakan penceroboh tapi mahu menghargai pengorbanan PDRM dalam mengatasi pengganas,” ujarnya.

Filem yang mengisahkan Krisis Pencerobohan Lahad Datu pada 2013 ini akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 22 Ogos ini.

Penggambaran filem ini telah dilakukan selama hampir dua bulan di Semporna, Lahad Datu, Sabah serta di sekitar Selangor.

Related posts
Hiburan

Bersedekah dan Istiqfar: Pesanan Nora Danish yang Dikongsi Shahrulezad

Nora menitipkan pesanan terutama kepada kaum wanita agar perbanyakkan istiqhfar dan…
Read more
Hiburan

Nazim Othman Akui Gagal Jadi Suami Terbaik, Pilih Kekal Bujang

Nazim Othman menyatakan bahawa dia lebih rela kekal bujang daripada menyakiti hati…
Read more
Hiburan

Saif Ali Khan Pulih Selepas Diserang Pisau, Polis Tangkap Suspek Warganegara Bangladesh

Mengenakan kemeja putih dan seluar jeans biru, beliau sempat bergambar dengan paparazi sebelum…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *