Hiburan

Kematian Matthew Perry: Lima Individu Didakwa, Skim Dadah Kompleks Didedahkan

Perry meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles pada Oktober 2023, pada usia 54 tahun.

Seramai lima orang telah didakwa dalam kes kematian pelakon siri Friends, Matthew Perry berkaitan dengan dadah tahun lepas, kata pihak polis.

Kelima-lima individu yang didakwa termasuk dua doktor dan pembantu peribadi pelakon tersebut.

Menurut polis, siasatan yang dimulakan pada Mei lepas telah mendedahkan “rangkaian jenayah pasaran gelap yang meluas” yang melibatkan pembekal dadah yang mengedarkan sejumlah besar ketamin.

Perry, 54, meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles pada Oktober 2023.

Bedah siasat ke atas mayat mendiang mendapati terdapat kepekatan tinggi ketamin dalam darahnya dan mengesahkan bahawa “kesan akut” bahan terkawal tersebut merupakan punca kematiannya.

“Defendan ini mengambil kesempatan daripada isu ketagihan Perry untuk meraih kekayaan bagi diri mereka,” kata peguam Martin Estrada pada Khamis.

“Mereka tahu apa yang mereka lakukan adalah mempertaruhkan bahaya besar kepada Perry, tetapi mereka tetap melakukannya.”

Tiga daripada defendan, termasuk pembantu Perry telah mengaku bersalah atas tuduhan dadah manakala dua lagi, seorang doktor dan seorang wanita yang dikenali sebagai “Ratu Ketamine,” telah ditangkap pada Khamis, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Ketamin yang merupakan anestetik kuat digunakan sebagai rawatan untuk kemurungan, kebimbangan dan kesakitan. Rakan-rakan rapat Perry memberitahu siasatan koroner selepas kematiannya bahawa aktor itu sedang menjalani terapi infusi ketamin, namun sesi terakhirnya telah berlangsung lebih seminggu sebelum kematiannya.

Pemeriksa perubatan berkata bahawa ketamin dalam sistem tubuh Perry tidak mungkin berasal dari terapi infusi kerana separuh hayat ubat tersebut yang pendek. Paras ketamin dalam tubuhnya adalah setinggi jumlah yang biasanya diberikan semasa anestesia umum.

Dakwaan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan menerangkan skim pembelian dadah yang kompleks yang didakwa membawa kepada kematian Perry. Pendakwa raya mendakwa pembantu Perry, Kenneth Iwamasa, bersekongkol dengan dua doktor untuk membekalkan pelakon itu ketamin bernilai lebih AS$50,000 (RM222,000) dalam beberapa minggu sebelum kematiannya.

Pegawai berhujah bahawa mereka yang terlibat dalam skim ini cuba mengaut keuntungan daripada masalah penyalahgunaan bahan yang dialami oleh Perry.

Salah seorang doktor, Salvador Plasencia didakwa menulis dalam mesej teks: “Saya tertanya-tanya berapa banyak yang akan dibayar oleh si dungu ini?” Plasencia, 42, didakwa membekalkan Perry ketamin “di luar amalan profesional biasa dan tanpa tujuan perubatan yang sah,” serta mengajar Iwamasa cara menyuntik ketamin kepada Perry tanpa prosedur keselamatan dan pengawasan yang betul.

Dalam empat hari sebelum kematiannya, Iwamasa didakwa memberi Perry sekurang-kurangnya 27 suntikan ketamin, walaupun dos besar ketamin pada awal bulan itu menyebabkan Perry “membeku,” menyebabkan Plasencia menasihatkan agar tidak memberikan dos sebesar itu pada masa hadapan. Doktor tersebut juga dilaporkan meninggalkan beberapa botol dadah bersama pelakon dan pembantunya selepas kejadian.

Suspek lain dalam kes ini termasuk Jasveen Sangha, yang dipanggil “Ratu Ketamine,” yang membekalkan dadah kepada Plasencia melalui bantuan dua defendan lain, Erik Flemming dan Dr Mark Chavez. Chavez, Flemming dan Iwamasa telah mengaku bersalah manakala Sangha dan Plasencia dihadapkan ke mahkamah Los Angeles pada petang Khamis.

Pendakwa raya berkata defendan cuba menutup jenayah yang didakwa ke atas mereka selepas kematian Perry dengan Sangha didakwa mengirim mesej kepada suspek lain untuk “padam semua mesej kami,” manakala Plasencia didakwa memalsukan rekod perubatan.

Dalam perkembangan lain, lemas juga disenaraikan sebagai faktor penyumbang kematian Perry yang dianggap sebagai kemalangan. Faktor penyumbang lain termasuk penyakit arteri koronari dan kesan buprenorfin yang digunakan untuk merawat gangguan penggunaan opioid.

Pada kemuncak kemasyhurannya, Perry berjuang dengan ketagihan terhadap ubat penahan sakit dan alkohol dan telah menjalani pemulihan beberapa kali. Dia merumuskan perjuangannya dengan penggunaan bahan dalam memoirnya, Friends, Lovers and the Big Terrible Thing.

Pada 2016, mendiang memberitahu BBC Radio 2 bahawa dia tidak mengingati pengalaman berlakon siri Friends selama tiga tahun penggambaran akibat tabiat pengambilan alkohol dan dadah.

Selepas berusaha mendapatkan rawatan, Perry menulis dalam memoirnya bahawa dia kebanyakannya bebas daripada ketagihan sejak 2001, “menyelamatkan kira-kira 60 atau 70 kejadian tidak diingini daripada berlaku.”

Related posts
Hiburan

Bersedekah dan Istiqfar: Pesanan Nora Danish yang Dikongsi Shahrulezad

Nora menitipkan pesanan terutama kepada kaum wanita agar perbanyakkan istiqhfar dan…
Read more
Hiburan

Nazim Othman Akui Gagal Jadi Suami Terbaik, Pilih Kekal Bujang

Nazim Othman menyatakan bahawa dia lebih rela kekal bujang daripada menyakiti hati…
Read more
Hiburan

Saif Ali Khan Pulih Selepas Diserang Pisau, Polis Tangkap Suspek Warganegara Bangladesh

Mengenakan kemeja putih dan seluar jeans biru, beliau sempat bergambar dengan paparazi sebelum…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *