
Karya terbitan Astro berjaya meraih sembilan anugerah pada ContentAsia Award ke-5 di Taipei pada Khamis lalu. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi Astro dalam menghasilkan program-program yang menarik dan pelbagai sesuai dengan citarasa penonton di Malaysia dan seluruh Asia.
Astro membawa pulang tiga anugerah Emas melalui INNOVATHON untuk Program Realiti Original dan/atau Pertandingan Terbaik, Family Feud Malaysia untuk Adaptasi Format TV Terbaik (Tidak Berskrip) di Asia dan runut bunyi Ayuh, Polis Evo 3 untuk Lagu Original Terbaik bagi Siri TV/Program atau Filem Asia. Selain itu, Astro turut memperoleh tiga anugerah Perak dan tiga Gangsa.
Anugerah Perak dimenangi oleh Crush on You 2.0 (Program Realiti Original dan/atau Pertandingan Terbaik), The Mosque Kiblatku (Drama/Siri Pendek Asia Terbaik) dan Fiza Thomas dalam siri “Mati Hidup Balik” (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Program/Siri TV).
Sementara itu, anugerah Gangsa diraih oleh Hype Hafiz (Drama/Siri Pendek Asia Terbaik), Didi & Friends Kembara Muzikal (Program TV Kanak-kanak Terbaik Buatan Asia) dan Travel with Mommy (Program Hiburan Fakta Terbaik Dihasilkan untuk Pasaran Asia Tunggal).