
Pelakon Meerqeen tidak menganggap anugerah sebagai ukuran kejayaan dalam kerjayanya. Namun, Meerqeen yang nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23 mengakui bahawa dia memiliki impian untuk meraih trofi Oscar yang dianggapnya sebagai anugerah paling berprestij.
“Sejujurnya saya tidak pernah mengharapkan apa-apa penganugerahan pun sebab pencapaian saya bukan pada trofi, pencapaian saya apabila nama saya ada dalam hati peminat.
“Kalau dapat alhamdulillah, jika sebaliknya saya teruskan hidup macam biasa sebab menang trofi bukan ada benda istimewa pun yang jadi dalam diri saya.
“Saya hanya idamkan trofi Oscar, itu impian saya. Saya fikir anugerah itu sahaja yang paling ‘legit’. Mungkin kedengaran kelakar tetapi saya percaya kalau saya kerja keras, tiada yang mustahil untuk genggam trofi tersebut,” katanya.
Meerqeen menjelaskan bahawa dia percaya pada rezeki dan merasakan bahawa tawaran kerja yang diterima datang sebelum dia meraih sebarang anugerah.
“Saya ada beritahu peminat untuk tidak mengundi saya kalau saya tercalon dekat mana-mana anugerah.
“Bagi saya, tidak mengapa saya tidak dapat semua itu asalkan mereka dapat layanan sepenuhnya daripada saya sebagai artis yang mereka minat.
“Mahu kata untuk lebih banyak tawaran mahupun ‘endorsement’, saya sudah lama dapat semua itu sebelum menang anugerah lagi.
“Semua orang boleh dapat itu jadi menang trofi bukanlah ada beza pun. Mungkin itu satu pencapaian tetapi bagi saya tidak menang pun tidak mengapa asalkan saya ada tempat dalam industri seni tanah air,” tegasnya.
Untuk makluman, Meerqeen merupakan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan Hero Remaja edisi 2019/2020. Selain itu, Meerqeen juga telah memenangi Anugerah Gempak Most Wanted 2022 dalam kategori Video Trending Tergempak.
Anugerah lain yang diraihnya termasuk Aktor TV Popular dan Couple TV Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH35).