
Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof telah sah bercerai talak satu dengan Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah pada Khamis.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengesahkan perceraian tersebut setelah berpuas hati dengan pengakuan Ira yang juga dikenali sebagai Faghirah Fatini Kazaruddin, 29 mengenai pelanggaran taklik.
Peguam syarie Azmi Rais yang mewakili Syamsul menyatakan bahawa mahkamah mengesahkan pelanggaran lafaz taklik selepas Ira mengakui membuat hantaran di media sosial.
“Ira telah melanggar taklik sebanyak lima kali selepas membuat hantaran di media sosial dalam keadaan rela dan tanpa paksaan bermula 14 Ogos lalu.
“Tempoh idah Ira juga bermula pada tarikh pelanggaran taklik (14 Ogos lalu),” katanya.
Sementara itu, peguam syarie Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira berkata mahkamah mendapati perceraian pasangan tersebut telah berlaku di luar mahkamah. Dengan keputusan hari ini, kes perceraian mereka kini selesai.
Syamsul, 40 atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof telah memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada 19 Ogos lalu. Pasangan ini berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.