
Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa berharap filem dokumentarinya ‘All Access to Rossa 25 Shining Years’ yang akan ditayangkan di pawagam pada 18 Oktober ini dapat memberikan inspirasi kepada penonton khususnya wanita untuk terus berusaha merealisasikan impian mereka.
Dokumentari yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-25 kerjaya seni Rossa yang nama sebenarnya adalah Sri Rossa Roslaina Handiyani mengisahkan perjalanan hidup dan kejayaannya sepanjang karier dalam industri muzik.
Pelantun lagu “Hey Ladies” ini juga berharap agar kisah yang dipaparkan dalam dokumentari tersebut dapat memotivasi terutama kepada golongan muda termasuk penyanyi baharu, untuk tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup.
“Banyak cerita yang saya kongsi ada hal-hal positif yang boleh diambil. Saya berasa semua wanita memiliki kekuatan yang luar biasa, cuma kebetulan saja saya ada waktu dan peluang untuk bercerita, jadi secara umumnya, (kisah) saya seperti mewakili semua wanita.
“Tidak kira penyanyi atau apa sahaja bidang, jika mahukan karier yang panjang, banyak cabaran yang perlu dilalui selain memerlukan banyak kesabaran dan perjuangan serta rasa tidak putus asa,” katanya pada sesi tayangan filem dan sidang media baru-baru ini.
Filem berdurasi 90 minit ini juga membawa penonton meneroka sisi lain penyanyi berusia 45 tahun itu yang jarang diketahui ramai, serta menampilkan rakan-rakan seperjuangannya seperti Melly Goeslaw, Ariel dan Afgan.
Lebih menarik, Rossa turut berkongsi beberapa kisah peribadi termasuk perceraian dengan suaminya Surendro Prasetyo atau Yoyo yang merupakan pemain drum kumpulan Padi pada tahun 2009, satu kisah yang belum pernah didedahkan sebelum ini.
Perkongsian tersebut diharap dapat memberikan motivasi dan dorongan positif kepada mereka yang menghadapi cabaran serupa.
“Saya rasa, ini waktu yang tepat, semuanya sudah baik-baik, tidak akan ada fitnah dan pihak yang dirugikan. Mungkin sebelum ini, misalnya, kita ambil masa untuk berdamai dengan keadaan.
“Saya, bekas suami (Yoyo) dan anak (Rizky Langit Ramadhan) juga sudah kembali lagi jadi keluarga tanpa ada pergaduhan … hubungan saya dan bekas suami sekarang lebih kepada adik dan abang dan mahu menjadi ibu bapa yang baik kepada anak kami,” katanya yang berbincang dengan anak dan bekas suaminya, meminta persetujuan untuk berkongsi kisah dirinya serta keluarga, sebelum rakaman filem berkenaan dibuat.