
Personaliti media sosial, Khairul Aming tampil istimewa pada acara Keretapi Sarong 2024 dengan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.
Khairul Aming memimpin bacaan ikrar bersama ribuan peserta yang hadir di Matic Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pempengaruh terkenal dengan kandungan masakannya ini juga mengingatkan semua yang hadir untuk berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana tiada negara lain yang mempunyai keunikan seperti ini.
“Terima kasih kepada LOCCO kerana menganjurkan satu acara yang sangat bagus untuk negara kita.
“Sebagai anak Malaysia, saya rasa sangat-sangat terharu kerana kita dapat berhimpun beramai-ramai dengan pelbagai agama, pelbagai bangsa, dan sejujurnya tiada negara yang unik seperti Malaysia.
“Ingat, inilah tanah air kita. Sama-samalah kita jaga dan berbanggalah menjadi seorang anak Malaysia,” ujar Khairul Aming ketika menyampaikan ucapan semasa acara Keretapi Sarong 2024.
Bacaan ikrar itu turut disertai oleh wakil komuniti dari United Malaysia Hindu Voice, Suren.
Selain Khairul Aming, acara tersebut meriah dengan kehadiran pempengaruh Pinn Yang dan Azfar Heri, penyanyi Hael Husaini serta Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris.
Untuk makluman, Keretapi Sarong 2024 merupakan program anjuran LOCCO, sebuah organisasi yang mempromosikan aktiviti kebudayaan melalui penganjuran Keretapi Sarong sejak tahun 2017.