
Selebriti antarabangsa, Alan Walker telah menunaikan janjinya untuk mengadakan konsert di Malaysia selepas membatalkannya pada bulan Jun lalu.
Alan menjelaskan bahawa pembatalan konsert sebelum ini disebabkan oleh faktor keselamatan serta isu penyalahgunaan.
“Persembahan sebelum ini dibatalkan akibat faktor keselamatan yang kritikal dan isu penyalahurusan yang dikemukakan kepada kami menjelang tarikh persembahan.
“Laporan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak ketiga menegaskan masalah-masalah berhubung persediaan pentas. Vendor-vendor tempatan juga berdepan dengan isu-isu bayaran.
“Keputusan terpaksa dibuat dengan membatalkan persembahan tersebut demi mengutamakan keselamatan dan pengalaman para peminat serta mengelakkan kerugian lanjut dialami oleh vendor-vendor tempatan,” ujarnya.
Untuk persembahan kali ini, pihak pengurusan Alan memilih KL Base, Sungai Besi sebagai lokasi kerana mereka percaya tempat ini sangat sesuai dengan konsep persembahan yang ingin dipaparkan.
Pada masa yang sama, pemuzik terkenal dengan lagu “Faded” ini juga memberitahu bahawa peminat yang telah membeli tiket konsert sebelum ini tidak perlu membeli tiket baru.
“Pemegang tiket persembahan yang terdahulu boleh menukar tiket mereka kepada tiket persembahan baharu.
“Jika mereka layak, mereka boleh menebus diskaun 15% untuk pembelian tiket tambahan di All-Access sebelum 26 September untuk layak masuk ke persembahan baharu.
“Selain itu, dengan susunan pentas yang baharu, pemegang tiket VIP dan Cat 1 akan ditawarkan laluan masuk pantas khas (fast-track), supaya dapat mendahului ke ruang depan zon dan menikmati persembahan baharu yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tiket untuk persembahan baru kini dijual di All-Access: http://www.all-access.io/walkerworldmy.
Konsert ini terbuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas. Bagi peminat yang berumur 18 tahun ke bawah, mereka perlu ditemani oleh penjaga yang berumur 19 tahun ke atas.
Sebelum ini, konsert Walkerworld Tour 2024 yang sepatutnya diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 22 Jun lalu terpaksa dibatalkan oleh Alan Walker pada saat-saat akhir atas beberapa sebab.
Selain itu, timbul juga kontroversi apabila penyanyi undangan konsert, Putri Ariani mengecewakan media tempatan yang menunggu untuk menemubualnya selepas sidang media konsert Walkerworld Tour 2024.
Tindakan ini membuatkan pihak media Malaysia merasa kecil hati, memandangkan Alan sendiri meluangkan masa untuk ditemu bual tetapi pihak pengurusan Ariani tidak memberi perhatian yang sama.