
USAHA aktres Rita Rudaini dalam mendidik anak-anak mencapai kejayaan telah menarik perhatian Kelab Wanita Ikon Malaysia untuk menganugerahkan beliau Ibu Ikon 2024/2025.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar, 48 berharap anugerah yang diterima dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada para ibu di luar sana agar tidak pernah mengalah dalam usaha memberikan yang terbaik untuk anak-anak.
“Terima kasih Ikon Malaysia untuk Anugerah Ibu Ikon 2024/2025 sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
“Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana,” katanya berkongsi momen istimewa itu di Instagram miliknya.
Anugerah ini diperkenalkan untuk memartabatkan wanita dalam pencapaian mereka yang melibatkan kerjaya, keluarga dan masyarakat. Tambah Rita, walaupun setiap wanita mempunyai latar belakang yang berbeza, ujian dan pengalaman yang dilalui tetap sama.
“Tidak mudah… walaupun ada di antara kita berlainan latar belakang, tetapi ujian dan rasa itu tetap sama.
“Percayalah, di setiap semua itu, bukanlah ‘kesusahan’, tetapi itulah ujian untuk yang terpilih… dan percayalah, di sebalik ujian itu ada ‘hadiah’ manis yang ALLAH berikan iaitu anak.
“Jagalah, sayangilah dan didiklah mereka kerana Allah,” ujarnya.
Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 dan Airit Qaqa Arjuna, 13 tahun.
Namun, ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian pada September 2013.
Anak sulung Rita, Airit Rayyan berjaya meraih keputusan cemerlang dengan gred purata 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Rayyan juga pernah menerima Anugerah Pengetua yang diberikan kepada pelajar dengan Purata Nilaian Gred (PNG) 3.50 dan ke atas selain cemerlang dalam bidang sukan dan kokurikulum.