
Menurut Pihak Berkuasa Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad, jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 38,153 orang. Dalam tempoh 24 jam yang lepas, 55 orang telah terbunuh dan 123 lagi cedera akibat serangan tentera Israel menjadikan jumlah keseluruhan kematian menjadi 38,153 dan kecederaan mencapai 87,828 sejak konflik Palestin-Israel bermula pada awal Oktober 2023.
Pihak berkuasa juga melaporkan bahawa sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalan raya. Tentera Israel telah menghalang pasukan ambulans dan pertahanan awam dari memberikan bantuan kepada mereka.
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menyatakan bahawa selama sembilan bulan serangan terhadap Gaza, keluarga-keluarga di sana terus menghadapi pengusiran, kemusnahan besar-besaran dan ketakutan yang berterusan.
“Kekurangan bekalan asas, (bahang musim panas) tidak tertanggung, (dan) penyakit merebak,” kata UNRWA.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Angkatan Pertahanan Israel berkata operasi mereka terus dijalankan di seluruh Semenanjung Gaza.
Sumber: BERNAMA

