
Kapal persiaran mewah Oceania Cruises yang terkenal dengan pelayaran ke destinasi pelancongan terkemuka dunia, dijadualkan belayar merentasi Asia termasuk Pulau Pinang pada tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, menyatakan bahawa Pulau Pinang berbangga kerana terpilih sebagai salah satu pelabuhan persinggahan Oceania Cruises dalam pelayaran mereka merentasi Asia pada tahun depan.
Beliau menambah bahawa pemilihan ini adalah peristiwa penting bagi sektor pelancongan Pulau Pinang dan akan membantu meningkatkan pengiktirafan negeri itu di peringkat global.
“Pelayaran kapal persiaran ini akan membawa lebih 1,250 penumpang ke pelbagai destinasi ikonik termasuk Singapura, Hong Kong, Tokyo, Shanghai dan sudah pastinya Pulau Pinang.
“Terletak strategik di Asia Tenggara, Pulau Pinang telah sekian lama menjadi destinasi utama bagi kapal persiaran dan apabila dipilih oleh Oceania Cruises ia membuktikan tarikan unik pulau ini dan pengalaman luar biasa yang kita tawarkan,” katanya pada sidang media mengalu-alukan Oceania Cruises oleh Xpedition Travel di sini hari ini.
Wong menyatakan bahawa Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan pelancongan bagi segmen kapal persiaran di negeri itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun 2023 sahaja, SPCT telah menerima seramai 573,178 penumpang transit antarabangsa dan 175,532 penumpang tempatan.
“Jumlah yang memberangsangkan ini mencerminkan kapasiti terminal tersebut mengendalikan penumpang dalam jumlah besar dengan efisien sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai hab maritim utama di rantau ini.
“Penambahbaikan kemudahan terminal baru-baru ini termasuk melebarkan dermaga dan meningkatkan kemudahan penumpang juga meletakkan SPCT sebagai satu daripada terminal kapal peranginan utama,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa infrastruktur tersebut membolehkan pengendalian kapal pelayaran yang semakin meningkat dilakukan dengan lebih efisien serta memberikan pengalaman yang lancar kepada para penumpang.
Wong turut menyatakan bahawa ketibaan Oceania Cruises ke negeri ini akan membawa manfaat besar kepada ekonomi dan budaya, selain membantu peniaga tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor hospitaliti, peruncitan, pengangkutan dan pelancongan di seluruh Pulau Pinang.
“Ia membawa pembangunan dalam masyarakat dan memastikan manfaat daripada pelancongan itu dinikmati oleh semua dan ia juga seiring dengan visi yang digariskan dalam Inisiatif Pulau Pinang 2023 iaitu meningkatkan tarikan di peringkat global dan mengukuhkan kedudukan kita sebaga hab pelancongan utama.
“Kita juga komited untuk menambah baik infrastruktur, memastikan pembangunan yang mampan dan memupuk masyarakat yang bertenaga,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa disenaraikan sebagai salah satu pelabuhan persinggahan adalah langkah penting bagi Pulau Pinang dalam merealisasikan visi tersebut, di samping menggalakkan pembangunan dan pelaburan dalam sektor pelancongan.
Beliau juga menambah bahawa ini membuka peluang kepada pelbagai bentuk perdagangan dan pelaburan lain melalui pelancongan serta membuka jalan bagi Pulau Pinang untuk menjadi pelabuhan utama dalam masa terdekat.