Hiburan

Syafie Naswip Berhati-hati Dalam Pergaulan Selepas Bergelar Suami

Pelakon filem Gayong Syafie Naswip selepas sidang media dan pelancaran filem Gayong di Astana Putra Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

Baru sahaja menjadi suami, pelakon Syafie Naswip, 32 mengakui bahawa dia perlu lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan di lokasi penggambaran untuk mengelakkan sebarang salah faham.

Meskipun isterinya bersikap terbuka dan memahami kerjayanya, itu bukanlah alasan bagi pelakon filem Mukhsin ini untuk mengambil sebarang watak atau melakukan babak mesra mengikut permintaan skrip.

“Setakat ini, isteri saya okey saja dengan watak yang saya lakonkan. Namun, sebagai suami sudah tentulah kita pun kena tahu batas untuk diri sendiri. Apabila dah baca skrip, kita tahulah kehendak sesuatu babak sama ada over atau tidak. Kalau dulu (sebelum berkahwin) mungkin boleh buat lagi (babak bersentuhan), tapi sekarang perlu berhati-hati.

“Bukan apa, sekarang pun banyak kes kemelut rumah tangga yang berlaku di luar sana, saya tidak mahu ia (masalah itu) terpalit juga kepada kami. Jadi, mana yang boleh saya jaga, kita bincang elok-elok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media dan pelancaran filem Gayong di sini, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Muhammad Syafie Naswip ini juga bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Afiqah Ishak pada penghujung Disember 2023.

“Alhamdulillah, apa yang saya perasan, selepas berkahwin saya banyak mendapat tawaran berlakon filem, namun saya juga bersedia menerima tawaran untuk drama dan telemovie,” katanya

Apabila ditanya mengenai perancangan masa depannya, Syafie mengakui mempunyai hasrat untuk membuka sebuah nurseri suatu hari nanti.

Pelakon yang meraih Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 ini sebelum ini aktif melakukan aktiviti bercucuk tanam yang menjadi terapi bagi dirinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

“Melihat sayuran hijau yang tumbuh segar di depan mata menjadikan saya leka menikmati keindahan selain menenangkan minda dan jiwa terutama setelah penat bekerja.

“Semua pokok saya manja sebab biasanya saya akan pegang dan belainya serta bercakap dengan membahasakan diri sebagai abah, barulah pokok akan sihat dan segar sentiasa,” katanya.

Related posts
Hiburan

Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditikam Ketika Cuba Halang Penceroboh

Saif Ali Khan dilaporkan diserang dan ditikam di rumahnya pada awal pagi tadi. Pelakon Bollywood…
Read more
Hiburan

Amir Raja Lawak Kembali Berlakon Selepas Setahun Fokus Berniaga

Amir Raja Lawak kini sudah bersedia untuk kembali berlakon selepas setahun fokus berniaga. Pelawak…
Read more
Hiburan

Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat: Cinta Lama Kembali Tertaut?

 Sufian Suhaimi berkongsi gambar Rania Al-Sadat dengan kapsyen ‘Masya-Allah Sayangku’ di…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *