Usaha tanpa henti merupakan kunci untuk membuka pintu kejayaan. Mungkin ungkapan ini paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan penyanyi hebat, Ernie Zakri.
Jika kita meneliti perjalanan seninya, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri ini telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Dia pernah hampir berputus asa ketika bakatnya tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Namun, dengan sokongan dan dorongan daripada ibunya Rafiaah Mohamed, wanita berusia 32 tahun ini berjaya mencapai kejayaannya hari ini.
Kini, kemampuannya tidak lagi dipertikaikan malah peminat juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penyanyi yang dikenali sebagai Ernie Zakri. Buktinya, dalam masa tujuh jam, tiket untuk konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert habis terjual.
Ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan konsert solo pertamanya yang akan diadakan di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre pada 25 Januari depan.
“Jujurnya tidak pernah saya bayangkan tiket saya akan habis terjual dalam masa tujuh jam, saya bayangkan dalam masa sebulan, saya akan berusaha untuk menghabiskan penjualan tiket.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini.
“Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini,” katanya.
Ernie mengungkapkan demikian ketika ditemui pada sidang media konsert solonya di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini. Ketika ditanya sama ada beliau pernah terfikir untuk mengadakan konsert solo sendiri selepas semua jerih perih yang dilalui, isteri kepada Syamel itu segera menggelengkan kepala.
Dengan senyuman manis, anak saudara kepada penyanyi terkenal Ziana dan Anuar Zain itu menyatakan bahawa beliau menganggap momen ini sebagai hadiah daripada ALLAH SWT.
“Sejak awal perjalanan karier saya, memang banyak yang ingin saya capai, tetapi tidak pernah ada dalam kepala saya untuk mengadakan konsert, apatah lagi tiket habis terjual dalam masa tujuh jam.
“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini,” jelasnya.
Tidak mahu menjanjikan bulan bintang buat peminatnya, pelatun Hal Hebat itu berkata, apa yang diharapkan dapat menyajikan satu malam penuh magis menampilkan pelbagai lagu hit seperti Ku Bersuara, Gundah dan Boneka serta lagu daripada album Aura dipersembahkan secara eksklusif untuk konsert tersebut nanti.
“Ramai yang tanya ada ke Syamel nanti, setakat ini segala perbincangan sudah dibuat, cuma ada atau tidak Syamel nanti, tunggu sahaja konsert berlangsung.
“Saya tidak mahu janjikan banyak perkara, apa yang boleh saya katakan, saya hanya mahu menjadi Ernie Zakri di atas pentas dan bila saya sampaikan lagu atau bercerita mengenai lagu itu, peminat akan memahaminya.
“Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” katanya yang kini giat melakukan persiapan menjelang konsert tersebut.
Masih terus berbincang tentang konsert solonya, Ernie meluahkan rasa terharu apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan sokongan kepadanya.
Secara peribadi, Ernie menyatakan bahawa sokongan seperti itu perlu diberikan oleh sesiapa sahaja memandangkan industri seni tempatan tidaklah sebesar mana.
“Kalau dibandingkan industri kita dengan industri luar seperti Indonesia contohnya, memang jauh berbeza. Jadi aura seperti inilah yang perlu diberikan oleh semua orang.
“Bukan hanya dalam industri seni, tetapi kita dalam satu masyarakat, raikanlah perjalanan setiap orang,” ujarnya.