Datuk Seri Vida menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh terhadap isu penyitaan aset yang sedang dihadapinya. Menurut Vida, beliau telah melantik peguam bagi membantu menguruskan perkara tersebut secara profesional dan mengikut undang-undang.
“Saya mengambil isu ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian. Peguam telah dilantik untuk menasihati serta membantu saya menyelesaikan perkara ini dengan cara terbaik,” katanya.
Walaupun kini dipercayai sedang bercuti di China, Vida turut menyampaikan ucapan terima kasih atas keprihatinan netizen dan berharap masyarakat berhenti mengkritik serta memberi ruang untuknya menangani situasi ini.
“Saya sangat menghargai sokongan semua pihak dan memohon agar diberi ruang untuk menyelesaikan isu ini secara tenang dan profesional,” tambahnya.
Latar Belakang Isu Sitaan
Baru-baru ini, media melaporkan beberapa aset milik Vida di Ipoh, Perak, telah disita. Perintah penyitaan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah, selepas membenarkan permohonan daripada Mohammad Taufik Kamarul mewakili Ah Design Communication Sdn Bhd.
Proses pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan berlangsung sekitar jam 9 pagi di kediaman Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman. Difahamkan, tindakan tersebut diambil selepas Vida gagal melunaskan baki tunggakan bayaran sebanyak RM1,060,285 kepada syarikat kontraktor pembinaan tersebut pada tahun 2018.