Pelakon terkenal Korea Selatan, Jung Woo Sung, tampil memohon maaf atas kontroversi yang melibatkan dirinya baru-baru ini. Permohonan maaf tersebut disampaikan sewaktu menghadiri majlis Blue Dragon Awards Ke-44 pada Jumaat.
Sebagai penyampai hadiah di majlis tersebut, Woo Sung secara terbuka mengakui kesilapannya dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ayah kepada anaknya bersama model terkenal, Moon Ga Bi.
“Hari ini saya ingin memohon maaf kerana telah menimbulkan kerisauan kepada semua peminat yang selama ini memberikan cinta dan sokongan kepada saya. Saya menerima segala teguran dan kecaman, dan sebagai seorang ayah, saya akan melaksanakan tanggungjawab saya dengan baik,” katanya.
Namun, permohonan maaf Woo Sung yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada rakan-rakan artis di majlis itu menerima reaksi bercampur-baur daripada netizen. Ramai meluahkan rasa kecewa dan menyindir bahawa statusnya sebagai pelakon ternama memudahkannya mendapat pengampunan.
“Sepatutnya kena block. Oh ya lah, dia kan handsome.”
“Mentang-mentang dia pelakon Chungmuro, senang ja dimaafkan.”
Sebelum ini, Jung Woo Sung mencuri perhatian apabila mengesahkan dirinya adalah bapa kandung kepada anak bersama Moon Ga Bi. Beliau juga memaklumkan telah bertemu dengan Ga Bi untuk membincangkan tanggungjawab terhadap anak mereka.