
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa tiga selebriti, termasuk seorang penyanyi terkenal akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berkaitan sindiket tawaran pinjaman yang melibatkan syarikat perunding kewangan dan telah ditumpaskan dalam Op Sky baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap mereka dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).
“SPRM sedang menghubungi mereka bagi menetapkan temu janji untuk direkodkan keterangan mereka minggu ini,” katanya.
Difahamkan, selain penyanyi terkenal, seorang ikon inspirasi turut akan dipanggil bagi membantu siasatan Op Sky yang dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Hasil siasatan awal mendapati bahawa artis-artis terbabit menerima bayaran sehingga ratusan ribu ringgit untuk menggunakan wajah mereka bagi meyakinkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
Bulan lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Tindakan ini susulan penahanan 12 individu dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama BNM di 24 lokasi termasuk rumah kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sky.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa sebanyak RM700 juta pinjaman telah diluluskan kepada penjawat awam dengan modus operandi sindiket dipercayai melibatkan unsur rasuah dan pengubahan wang haram.