Umum

AI Seperti DeepSeek Dorong Pertumbuhan Pusat Data di Malaysia

Gobind Singh berucap pada majlis pelancaran teknologi 5G Advanced pertama Malaysia di portal my5G The Exchange 106 TRX, Kuala Lumpur, 4 Feb 2025.

KUALA LUMPUR: Kemajuan pesat dalam platform kecerdasan buatan (AI) seperti DeepSeek dari China, turut menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap pusat data di Malaysia, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau juga optimis bahawa perkembangan teknologi AI tidak akan mengancam usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab pusat data di rantau ini.

“Dengan perkembangan ini, perlu difahami betapa pentingnya mempunyai pusat data kerana pada akhirnya, jika perkhidmatan ini dapat disediakan pada kos yang lebih rendah, ia akan berkembang dengan lebih pantas.

“Anda akan melihat ramai orang menggunakan perkhidmatan ini, dan jika itu berlaku, sudah tentu permintaan terhadap data akan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi 5G Advanced semalam.

Sehubungan dengan itu, Gobind berkata kerajaan sedang mengikuti semua perkembangan terkini mengenai teknologi AI di seluruh dunia.

“Persoalannya ialah bagaimana kita dapat memastikan bahawa dasar yang dirangka sebelumnya mampu disesuaikan dengan perkembangan baharu ini dari aspek pengukuran, kos, dan penggunaan tenaga,” katanya.

Terdahulu, Gobind merasmikan pelancaran teknologi 5G Advanced pertama di Malaysia oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dan Ericsson, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman pengguna melalui kependaman ultra-rendah serta throughput yang tinggi.

Rangkaian DNB juga akan terus mendapat manfaat daripada operasi berasaskan niat AI Ericsson untuk membangunkan rangkaian berprestasi tinggi.

Kemajuan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pengguna, tetapi juga membuka peluang kepada aplikasi inovatif bagi pengguna dan sektor perusahaan yang tidak dapat dicapai dengan teknologi 5G standard.

Dalam ucapannya, Gobind menyatakan bahawa peningkatan rangkaian 5G di Malaysia akan mendorong penggunaan yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan perusahaan.

“Mempercepatkan penggunaan 5G dalam pelbagai perusahaan adalah penting untuk transformasi digital Malaysia, bukan sahaja menempatkan Malaysia sebagai peneraju 5G dalam tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 malah mengukuhkan pengaruh terhadap pelaburan digital serantau.

“Menjadi negara pertama di ASEAN yang melancarkan 5G Advanced menegaskan kepimpinan Malaysia dalam inovasi digital dan menetapkan penanda aras untuk kemajuan teknologi di rantau ini,” katanya.

Related posts
Umum

RUL AZHAR JUARA BINTANG P. RAMLEE 2026, BAWA PULANG RM20,000

– Foto Bernama – Rul Azhar, atau nama sebenarnya Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad…
Read more
Umum

SHAHIDA BIMBANG ADAB SESETENGAH REMAJA, PERSOAL CABARAN GURU DAN IBU BAPA

Datin Seri Nur Shahida meluahkan kebimbangan terhadap sikap sesetengah remaja yang disifatkannya…
Read more
Umum

JANNA NICK TAMAT PENGAJIAN DI UK DENGAN CEMERLANG, RAHSIAKAN SELAMA SETAHUN KERANA BIMBANG PENYAKIT AIN

Pelakon Janna Nick berjaya menamatkan pengajian Master of Arts in Filmmaking di United Kingdom…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *