
Tip buatan sendiri (do it yourself-DIY) merupakan salah satu petua yang berguna dan boleh dikatakan menjimatkan kerana ia melibatkan barangan terpakai selain mudah untuk dilakukan.
Pada kali ini, Siakap Keli akan berkongsi kepada umum terutamanya mereka yang suka bercucuk tanam mengenai cara untuk membuat baja menggunakan buah-buahan.
Perkongsian tersebut telah dibuat oleh Azuan Abdullah, di mana beliau mengajar cara untuk melakukan Mikro Organisme Lokal (mol) buah. Kalau nak tahu, fungsi mol buah ini adalah sebagai perangsang pembentukan bunga dan buah.
Menurut, mol buah ini sangat bagus untuk kita sembur pada mana-mana tanaman yang berbuah semasa peringkat berbunga dan berbuah.
“Di dalamnya ada kandungan potasium yang agak tinggi berbanding dengan mol-mol yang lain.
“Sebagaimana kita tahu, unsur potasium ini diperlukan oleh tanaman untuk pembentukan buah yang sempurna dan berkualiti,” katanya.
Azuan berkongsi cara untuk membuat mol buah menggunakan buah tembikai yang hanya memerlukan dua bahan utama sahaja.
Tip air baja guna kulit tembikai

Bahan-bahan:
Kulit tembikai: 1.5 kg
Gula merah: 1.5 kg
Bekas yang sesuai
Kertas putih dan tali
Cara-caranya:
1. Kupas dan buang kulit warna hijau kemudian ambil lapisan yang warna putih sahaja. Tujuannya supaya proses pengekstrakan dapat berlaku dengan sempurna.
Nak guna isi sekali pun boleh, tapi rugi la kan. Elok kita makan isinya. Lagipun kulit putih ini lebih tinggi kandungan potasium berbanding isi.
2. Potong nipis-nipis. Semakin nipis dan semakin luas permukaan, lagi bagus.
3. Masukkan sedikit gula merah ke dalam bekas. Memadai gula merah menutup dasar bekas.
4. Masukkan kulit tembikai dan tabur sekata di atas permukaan gula merah.
5. Proses 3 dan 4 dibuat secara bergilir-gilir. Kira ala-ala macam buat kuih lapis macam itu. Yang penting bahagian atas sekali mesti gula merah.
6. Tutup dengan kertas putih dan ikat bagi ketat.
7. Simpan di tempat redup selama 7 hingga 10 hari.
8. Selepas 7 hingga 10 hari diperam, tapis dan ambil cecairnya sahaja.
9. Botolkan dan simpan di tempat redup. Penutup botol tidak diketatkan atau dilubangkan supaya sentiasa ada udara yang keluar masuk. Boleh bertahan dua hingga tiga tahun.
10. Bila nak guna, ambil 2 hingga 5 ml mol tembikai dan dicampurkan dengan satu liter air tanpa klorin. Boleh juga dibuat cocktail bersama mol lain dan racun organik sekali.
11. Kekerapan semburan adalah seminggu sekali.
Selamat mencuba!