ViralUmum

SK Rapat Setia Sekolah Pertama Dalam Bandar Tanam Padi

SK Rapat Setia Sekolah Pertama Dalam Bandar Tanam Padi

Ingin mencipta kelainan serta memupuk minat murid terhadap bidang pertanian menjadi faktor utama merealisasikan hasrat warga Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia membangunkan projek penanaman padi dalam kawasan sekolah itu.

Guru Besar SK Rapat Setia Nor Hizan Abd Jalil berkata projek penanaman padi yang dijenamakan sebagai ECORISE SKSR itu tercetus sejak awal Jun tahun lepas melalui perbincangan bersama melibatkan semua guru.

“Pada asalnya, kawasan (keluasan 0.006 hektar) yang kami bangunkan dengan projek (padi) ini adalah kawasan berair dan agak terbiar. Ia sedikit sebanyak merunsingkan kami dan bagi memastikan ia (kawasan) dioptimumkan, maka kami buat sedikit kajian tentang tanaman yang sesuai dengan kawasan berair.

“Kami dapati tanaman padi adalah antara yang sesuai. Kami sepakat dan buat kertas kerja untuk tarik perhatian pihak tertentu membantu sekolah untuk projek ini,” katanya ketika ditemui Bernama di SK Sungai Rapat, di sini.

Terdahulu projek ECORICE SKRS yang merupakan modul dalam pelaksanaan program Kemahiran Melalui Rekabentuk (KMR) dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perak Datuk Mohamad Fauzi Mahson pada 16 Nov tahun lepas.

Ia juga merupakan projek penanaman padi dalam sekolah bandar yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

Nor Hizan berkata inisiatif yang digerakkan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama  bagi menjayakan projek tersebut.

Melalui jalinan tersebut, beliau berkata Perak SADC telah membiayai sepenuhnya projek berkenaan melalui pembekalan pelbagai kemudahan seperti kotak tanaman, benih padi, khidmat nasihat dan sebagainya

“Selain itu, Perak SADC melalui pegawai mereka kerap datang ke sini untuk melihat kemajuan (projek) serta pada masa yang sama beri nasihat tentang keperluan serta tatacara dalam mengendalikan projek ini.

“Untuk pusingan pertama tanaman ini, mereka (Perak SADC) akan bantu secara keseluruhan iaitu daripada penyediaan benih hingga proses penuaian nanti. Selepas itu, barulah kami yang akan mengendalikan keseluruhan projek,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan projek tersebut, Nor Hizan berkata 15 kotak tanaman padi disediakan di kawasan itu dan dijangkakan pengeluaran hasil mampu mencecah hingga 150 kilogram (kg) untuk pusingan pertama yang diramal memasuki fasa penuaian pada penghujung Mac ini.

“Untuk tuaian hasil pertama ini mungkin kami nak buat kenduri melibatkan semua warga sekolah. Kami nak semua merasainya. Untuk pusingan seterusnya, mungkin kami boleh jual kepada masyarakat setempat untuk jana pendapatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah,” katanya.

Selain itu, katanya kewujudan projek ini juga banyak memberi implikasi positif terutama dalam memupuk minat murid mendalami ilmu berkaitan bidang pertanian sejak dari awal.

“Ia bukan sekadar beri peluang kepada mereka (murid) melihat secara dekat proses penanaman padi. Sebaliknya, ia sebagai satu daripada cara untuk mereka meneroka ilmu baharu selain kemahiran bertanya dan mengumpul data serta menjana idea yang signifikan,” katanya.

Ditanya perancangan dan hala tuju projek tersebut pada masa hadapan, Nor Hizan berharap ia akan dikekalkan selain menjadi perintis kepada sekolah lain untuk mencuba pendekatan sama.

Sementara itu, bagi murid Qaseh Insyirah Mohd Efendi, 11, berkata kewujudan projek berkenaan memberi peluang kepada dirinya untuk melihat dengan lebih dekat proses penanaman padi.

“Kami juga bantu cikgu untuk pantau pertumbuhan padi tersebut. Kalau ada serangga atau ulat yang ganggu kawasan padi itu kami akan laporkan pada cikgu,” katanya.

Related posts
HiburanViral

SYUK TOLAK PELAWAAN TOMOK SERTAI KONSERT NEW BOYZ, NAFI MERAJUK

Bekas pemain bass New Boyz, Syuk, menolak pelawaan Tomok untuk menyertai konsert kumpulan itu kerana…
Read more
Umum

CENDERAHATI RESEPSI SYED SADDIQ DAN BELLA DITAWARKAN RM350, NETIZEN BERI PELBAGAI REAKSI

Cenderahati yang didakwa daripada majlis perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah menjadi…
Read more
Viral

DUA VERSI TRAILER KUDRAT 1968 CETUS TEORI PEMINAT, PENGAKHIRAN MASIH JADI TANDA TANYA

– Foto Astro Shaw – Trailer filem KUDRAT 1968: High Council mencuri perhatian apabila…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *