
Filem arahan Syafiq Yusof, “Sheriff: Narko Integriti,” bakal menembusi pasaran Hong Kong dan akan mula ditayangkan pada 6 Jun.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Syafiq menerusi platform X pada hari Isnin.
“Berita baik untuk filem Malaysia… selepas tayangan di negara Indonesia, filem Sheriff: Narko Integriti bakal tembusi pawagam-pawagam di Hong Kong.
“Tayangan di Hong Kong bermula 6 Jun 2024! Majulah Filem Malaysia!” kongsinya.
Sebelum ini, filem yang menampilkan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz dan pelakon lain telah mencatatkan kutipan sebanyak RM60.5 juta selepas hampir 30 hari ditayangkan di pawagam.
Filem tersebut hasil terbitan Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd juga berjaya menembusi pawagam di Indonesia dan akan memulakan tayangan pada 22 Mei 2024.
“Sheriff: Narko Integriti” mengisahkan tentang Nazri, seorang anggota polis yang merasakan bahawa sindiket dadah syabu Tony Ifrit semakin mengganas. Tanpa memberitahu rakan sejawatnya, Nazri membuat keputusan untuk menangani masalah tersebut sendiri.