
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan berkompromi sebarang kesalahan berkaitan integriti di kalangan kakitangannya, berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tahun ini.
Dalam satu kenyataan, JPN menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan tersebut, sekiranya kesalahan tersebut disahkan.
“Pihak jabatan akan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak EAIC dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkaitan dengan integriti kakitangan kami.
“Jika ada kakitangan yang didapati bersalah sepanjang siasatan dijalankan, tindakan dan hukuman akan dikenakan terhadap mereka,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, sebanyak 176 aduan diterima berkaitan salah laku tahun ini dan kebanyakan melibatkan Jabatan Imigresen (JIM).
Beliau berkata, aduan mengenai imigresen adalah sebanyak 38 kes, diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (21), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (18), Jabatan Perikanan (16), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (16), Jabatan Pendaftaran Negara (13) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (13).
Antara aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya iaitu sebanyak 59 aduan, selain tindakan tidak mengikut prosedur operasi standard atau SOP (37), salah guna kuasa (24), tiada klasifikasi atau tiada salah laku (23) dan rasuah (19).
Mengulas lanjut, menurut JPN, pihak jabatan akan menangani isu tersebut dengan serius bagi memastikan tiada pelanggaran integriti atau seumpamanya daripada terus berlaku.
Tambahnya, menerusi program pengukuhan integriti secara berterusan akan membantu JPN menambah baik ketelusan dalam proses pekerjaan.
“JPN sentiasa serius bagi melakukan sebarang penambahbaikan jabatan ini termasuk prosedur kerja.
“Kita adakan pelbagai program pengukuhan integriti sebagai usaha bagi memastikan tiada sebarang ruang kesalahan berkaitan integriti berlaku dalam kalangan kakitangan kami,” katanya.
Sumber: Sinar Harian