
Pelakon Shannen Doherty telah meninggal dunia akibat kanser pada usia 53 tahun. Berita tersebut telah disahkan oleh pengurus publisitinya Leslie Sloane pada hari Ahad.
“Dengan berat hati saya mengesahkan pelakon Shannen Doherty telah meninggal dunia. Pada Sabtu, 13 Julai, dia tewas dalam pertempurannya dengan penyakit kanser yang dideritai selama bertahun-tahun.
“Dia menghembuskan nafas terakhir dikelilingi orang tersayang serta anjingnya, Bowie. Keluarga meminta mereka diberi privasi pada masa ini,” kata Sloane dalam satu kenyataan eksklusif kepada majalah People.
Selepas didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 2015, Doherty menjalani pembedahan mastektomi serta menjalani kemoterapi dan radiasi.
Pada tahun 2017, Doherty mengumumkan gejala kansernya mulai berkurang tetapi pada tahun 2019 kanser itu kembali.
Doherty memulakan kerjayanya pada tahun 1982 sebagai pelakon kanak-kanak.
Kerjayanya semakin berkembang melalui peranannya sebagai watak utama dalam siri Beverly Hills: 90210 dan Charmed. Selama 42 tahun dalam industri ini, Doherty telah membintangi hampir 20 filem dan 40 siri televisyen.