
Susulan insiden yang melibatkan abang penyanyi Aufahanie, pelakon Sweet Qismina menasihatkan orang ramai agar berkongsi lokasi semasa dengan keluarga jika berada di luar seorang diri.
Sweet, atau Farhanna Qismina Supandi, 27, menyatakan bahawa tidak kira lelaki atau perempuan adalah penting untuk sentiasa memaklumkan keberadaan diri kepada keluarga terdekat demi keselamatan.
“Tak kisah kalau awak mahir dalam seni mempertahankan diri sekali pun, gangster macam mana sekali pun, tolong kongsi keberadaan anda dengan keluarga,” katanya.
Pada masa yang sama, isteri kepada pelakon Adam Lee itu juga mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi lokasi di media sosial kerana ia boleh menarik perhatian individu yang mempunyai niat tidak baik.
“Orang kata menjengkelkan nak kemas kini 24 jam pun buatlah. Jangan rajin sangat kongsi lokasi awak dalam media sosial.
“Kongsi satu jam atau sehari selepas berada di tempat kejadian. Kalau rasa tak sedap hati, jangan muat naik dulu.
“Orang boleh kesan lokasi dan serang anda bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.
Kesal dengan kejadian yang menimpa abang penyanyi Aufahanie, Sweet menganggap insiden yang melibatkan arwah sebagai pengajaran kepada semua untuk lebih berhati-hati.