
Pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly berkongsi momen indah apabila bakal menantunya, Baetrice Chitra memeluk agama Islam di sebuah masjid baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, wanita berusia 52 tahun itu turut menjadi saksi saat Baetrice atau lebih mesra disapa Bae, mengucap dua kalimah syahadah dengan bimbingan seorang ustaz.
“Alhamdulillah,” tulis Sheila ringkas pada ruangan kapsyen.
Dalam video tersebut, kelihatan Baetrice menitiskan air mata setelah bergelar wanita Muslim, begitu juga dengan anak kedua Sheila, Luth Mikhail, 23 tahun.
Menerusi ruangan komen, ramai rakan selebriti meluahkan rasa syukur kerana keluarga bahagia itu telah membimbing seorang lagi hamba ALLAH SWT memeluk agama Islam.
Mereka juga tidak sabar menantikan penyatuan antara Luth yang mesra dipanggil Mika dan Bae.
“Masya-ALLAH, cantiknya. Sebak pula tengok video ini, semoga awak dan keluarga sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah,” kata aktres Nurkhiriah.
“Ya ALLAH, cantik sungguh aturan Allah. Semoga dipermudahkan segalanya buat Mika, Aunty Ina (Zarina) doakan berkekalan hingga ke jannah,” ujar dramatis Zarina Zainuddin.