
Susulan kejayaan cemerlang Konsert Cipta pada 10 Ogos lalu, seniman Datuk M Nasir akan mengadakan konsert solo tersebut sekali lagi pada 12 Oktober ini.
Mengekalkan lokasi di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Konsert Cipta 2 akan meneruskan kejayaan Konsert M Nasir Cipta 1.
Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment itu akan menerima kehadiran penonton dalam jumlah yang sangat terhad.
Konsert M Nasir Cipta 2 akan menjual tiket dalam jumlah terhad, iaitu sebanyak 6,000 keping sahaja.
“Konsert ini diadakan sekali lagi bagi memenuhi permintaan ramai orang yang belum moved on dengan konsert tempoh hari,” kata M Nasir dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, persembahan kali ini akan menyajikan lagu-lagu baru selain daripada karya-karya lama beliau.
“Kami akan cuba membawakan lagu-lagu yang tidak dibawa pada konsert pertama dan kami akan menambah lagi beberapa lagu baharu (rakaman-rakaman saya) dalam persembahan kali ini.
“Saya harap konsert Cipta 2 akan lebih bertenaga dan memberi makna kepada anda,” kata M Nasir.
Harga jualan tiket adalah seperti berikut: RM 238 (Fantasia Bulan Madu – FBM), RM338 (Mentari Merah Di Ufuk Timur – MMDUT), RM458 (Layang-layang Terputus Talinya – LLTL), RM488 (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara – SBSDGS), RM528 (Laila Namamu Teratas – LNT) dan RM588 (Keroncong Untuk Ana – KUA).
Tiket-tiket untuk konsert Cipta 2 M Nasir akan mula dijual pada 27 Ogos ini jam 2 petang di laman http://www.ticket2u.com.my/mnasircipta2.