Viral

Jebat dan Ibunya Hadapi Kemelut Harta Peninggalan Jins Shamsuddin, Tegakkan Kebenaran

Putera Hang Jebat, bersama ibunya Halijah Abdullah, mengadakan sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa untuk menjelaskan mengenai kes harta Allahyarham Jins Shamsuddin.

Menghadapi tuduhan menipu dan memalsukan tanda tangan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin bukanlah perkara mudah untuk Putera Hang Jebat terima. Namun, apa lagi yang mampu dilakukannya selain menuntut keadilan melalui saluran undang-undang.

Selepas lima tahun bersabar dan menahan telinga daripada mendengar tanggapan negatif masyarakat sekeliling, Jebat, 37, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan telah menolak kes saman sivil yang difailkan oleh dua abangnya, Jeffrey dan Putera Hang Tuah, sejak Januari 2019.

Jebat menghadapi dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa berkaitan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak yang melibatkan kedua-dua abangnya tersebut.

Namun, pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jeffrey dan Tuah dan mereka diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada ketiga-tiga defendan termasuk Jebat.

Sebagai seorang yang waras, Jebat mengakui bahawa tuduhan menipu dan memalsukan tanda tangan sangat mengguris perasaannya serta merosakkan nama baiknya dan keluarganya.

Memang nama saya terjejas sebab di luar sana, kita dapat lihat berlegar berita yang mengatakan saya menipu dan memalsukan tanda tangan.

“Tapi, sebenarnya, pada 2012 lagi, memang niat ayah saya memberikan tanah itu kepada saya dan saya ada dokumennya. Tanah ini adalah tanah rizab Melayu dan pada ketika itu, perlu ditandatangani di depan pembantu pegawai daerah.

“Jadi, apabila dikatakan ayah menandatangani dokumen itu ketika sedang sakit dan sebagainya, mustahil kerana ada pegawai di situ sebagai saksi.

“Tohmahan-tohmahan itu sangat menjejaskan terutamanya ibu saya. Dia dihina dan dicaci. Saya memang susah nak terima benda itu kerana itu ibu saya,” kata Jebat dalam nada sebak pada sidang media.

Tidak henti-henti memanjat kesyukur, Jebat berkongsi sebab dia memilih berdiam diri sepanjang diuji dengan fitnah itu adalah kerana berpegang dengan pesanan arwah bapanya yang meminta agar hanya bersuara apabila keputusan sudah muktamad.

“Alhamdulillah, saya memang rasa lega. Selama lima tahun kami sekeluarga menerima pelbagai persepsi daripada masyarakat. Sekarang, saya rasa lebih tenang sebab kebenaran sebenarnya terbukti di pihak saya.

“Saya ikut pesanan ayah agar tidak terlalu dihebohkan pada awam. Apa-apa pun orang kata kepada keluarga, kita simpan sampai dah terbukti di mahkamah, baru kita akan kongsi.

“Pesan ayah lagi, biar keputusan dan betul-betul muktamad, barulah kita buat apa yang sepatutnya,” ujar Jebat lagi.

Sidang media itu turut dihadiri oleh ibunya, Puan Sri Halijah Abdullah, 65. Jebat berkata ibunya turut merasa bimbang dengan kemelut harta peninggalan seniman Jins Shamsuddin yang telah menjadi ‘perbalahan’ dalaman keluarga.

“Ibu runsing apabila berdepan dengan cacian dan makian. Tapi, mujurlah tak menjejaskan kesihatannya. Dia kena lalui lima tahun proses ini. Ada yang bertanya, ada yang bercakap, tapi semuanya kami kena tidak endahkan,” jelas Jebat.

Pada sidang media tersebut, dia menegaskan bahawa hasil daripada penjualan tanah itu digunakan untuk menanggung perbelanjaan perubatan ayahnya dan memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada arwah.

“Selepas saya jual tanah itu, semuanya adalah untuk perbelanjaan perubatan ayah dan juga untuk bawa ayah jalan-jalan. Kami nak dia rasa selesa selepas dah bersara.

“Saya buat Surat Kuasa Wakil ini untuk satu estet tanah sahaja. Ayah ada banyak lagi harta lain yang masih boleh difaraidkan. Kalau saya tamak, saya akan buat Surat Kuasa Wakil untuk semua harta ayah.

“Tapi, ketika dia masih hidup, dia dah sebut (pindah milik tanah). Tak ada kena mengena dengan saya nak bolot harta. Kebanyakan orang cakap saya nak bolot harta, sedangkan satu tanah ini sahaja yang ayah serahkan. Selebihnya, masih ada dan difaraidkan mengikut undang-undang,” katanya.

Seniman legenda Jins Shamsuddin menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017.

Pelakon terkenal itu dikurniakan empat orang anak lelaki: Jeffrey, hasil perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat dan Hang Tuah, anak Allahyarham dengan Jamilah Shukor.

Manakala Jebat dan adiknya, Putera Hang Nadim adalah anak hasil perkahwinan Jins dengan Halijah.

Related posts
Viral

Khabib Nurmagomedov Dikeluarkan Dari Penerbangan

Khabib Nurmagomedov. Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov telah dikeluarkan dari penerbangan…
Read more
KesihatanViral

hMPV: Jangkitan Bermusim, Tiada Keperluan untuk Amaran Awam atau Panik

Gambar hiasan Tidak perlu amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) kerana…
Read more
ViralTempatan

PETRONAS Dinobat Jenama Minyak & Gas Terkuat Dunia 2024

PETRONAS Diiktiraf Jenama Minyak & Gas Paling Kukuh Di Dunia Pada 2024 KUALA LUMPUR: PETRONAS…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *