
Kad permainan Pokémon yang paling diingini dan jarang ditemui dijual pada harga AS$360,000 (RM1,487,920) dalam lelongan Sotheby’s di New York pada hari Selasa.
Kad holografik “Pokemon Illustrator” keluaran Jepun 1998 yang memaparkan watak kartun ikonik Pikachu hanya mempunyai 39 salinan rasmi.
Selain itu, kad yang dilelong kali ini adalah satu-satunya kad yang diketahui ditandatangani oleh Takumi Akabane iaitu salah seorang daripada tiga pengasas permainan kad dagangan itu, menurut Sotheby’s.
Identiti penjual dan pembida yang berjaya tidak didedahkan. Kad-kad tersebut sebelum ini diberikan kepada pemenang pertandingan melukis yang dianjurkan oleh majalah Jepun, CoroCoro Comic pada tahun 1998.
Salah satu kad yang dianggap sebagai kad paling terpelihara telah dibeli pada harga AS$5,275,000 pada tahun 2021 dan diiktiraf oleh Guinness World Records pada tahun berikutnya sebagai kad Pokémon termahal.