
SEMENANJUNG GAZA: Tiga tawanan yang dibebaskan oleh Hamas tidak pulang ke Israel tanpa membawa apa-apa. Sayap tentera gerakan tersebut, Briged al-Qassam, dilaporkan memberikan ‘cenderahati’ kepada Romi Gonen, Doron Steinbrecher, dan Emily Damari ketika menyerahkan mereka kepada wakil Persatuan Palang Merah di Bandar Gaza pada Ahad yang lalu.
“Ketiga-tiga mereka menerima beg kertas tertera logo Briged al-Qassam yang mengandungi rantai, peta Semenanjung Gaza, sijil pembebasan mereka dan gambar kenangan ketika berada di Gaza,” lapor beberapa rangkaian media.
Ketika menerima ‘kejutan’ itu, mereka kelihatan tersenyum dan sempat merakam gambar terakhir sebelum pulang. Ini jelas berbeza dengan propaganda Barat yang sering mencemarkan nama Briged al-Qassam.
Menurut laporan New Arab, sebahagian warganet membandingkan reaksi gembira mereka dengan tahanan Palestin yang kelihatan tertekan akibat penderaan fizikal dan mental sepanjang berada di penjara Israel. Wakil keluarga Gonen pula memberitahu bahawa Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) telah merampas hadiah tersebut.