
KUALA LUMPUR: Hanna Rauda yang bermula pada tahun 2016 telah berkembang daripada hanya menerima tempahan pakaian kustom kepada jenama fesyen terkenal dengan koleksi sulaman ‘ready-to-wear’.
Menurut Pengurus Pemasaran & Jualan Hanna Rauda, Alia Athirah Zainudin, perkhidmatan yang fleksibel ini membezakan Hanna Rauda daripada jenama lain kerana ia menawarkan penyesuaian pantas tanpa mengabaikan kualiti.
“Kami memberikan keistimewaan kepada pelanggan untuk menyesuaikan sulaman, saiz, dan bentuk supaya pakaian yang dihasilkan betul-betul sesuai dengan badan mereka, keselesaan dan keindahan adalah keutamaan kami”, katanya.
Alia berkata, reka bentuk pakaian di Hanna Rauda menampilkan gabungan antara elemen tradisional dan moden.
Sulaman yang dihasilkan tidak hanya menonjolkan seni tempatan tetapi juga diolah dengan sentuhan kontemporari yang sesuai dengan citarasa semasa.
Jenama yang bermula dengan kurang daripada sepuluh tenaga kerja kini telah berkembang kepada lebih 30 orang.
“Peniagaan ini membesar secara perlahan tetapi konsisten dengan sokongan tenaga kerja yang ramai, kami mampu memenuhi permintaan pelanggan tanpa menjejaskan kualiti”, kata Alia.
Kepercayaan pelanggan dan komitmen terhadap seni sulaman telah membantu Hanna Rauda mengukuhkan kedudukannya dalam industri fesyen.
Media sosial menjadi platform utama bagi Hanna Rauda untuk mempromosikan produk mereka. Jenama ini aktif di Shopee, TikTok dan Instagram, memudahkan pelanggan untuk melihat koleksi terkini dan membuat tempahan.
“Melalui media sosial, kami bukan sahaja dapat pamerkan hasil seni, tetapi juga menjangkau pelanggan dari seluruh dunia. Kami turut berkolaborasi dengan insta-famous yang berpengaruh dalam bidang fesyen untuk memperluaskan capaian kami,” katanya.
Selain melalui platform digital, pelanggan juga boleh mengunjungi butik Hanna Rauda yang terletak di Rawang, Sungai Buloh dan Bangi Central.
Hanna Rauda percaya bahawa kejayaan dalam perniagaan memerlukan asas ilmu yang kuat serta bimbingan daripada individu yang berpengalaman.
Keberanian untuk mencuba, meskipun terdapat banyak pesaing juga merupakan elemen penting dalam mencapai kejayaan, kerana tanpa mencuba, potensi sebenar tidak akan dapat diterokai.