
KUANTAN: Fasa Ujian dan Pentauliahan bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk jajaran fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan bermula pada Jun 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Beliau menjelaskan bahawa ujian dan pentauliahan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan sistem ECRL berfungsi dengan baik dan lancar sebelum ia mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027 bagi jajaran fasa pertama.
Menurut Darwis, set pertama daripada keseluruhan 11 set tren Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak untuk penumpang dijangka tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
“Lokomotif elektrik pertama daripada 12 unit lokomotif elektrik untuk pengangkutan kargo semasa pengoperasian ECRL, turut akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
“Tren EMU dan lokomotif yang pertama dijangka tiba sama ada November atau Disember tahun ini. Tren seterusnya akan tiba secara berperingkat dengan keseluruhannya pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas pelancaran Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL yang diadakan di tapak projek ECRL Seksyen 10, semalam.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut Darwis, semua kerja pemasangan landasan ECRL di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
“Pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer (km) dari Maran, Pahang ke Kota Bharu telah selesai pada 15 Jan tahun ini. Kerja pemasangan landasan sepanjang 100 km antara Maran dan Bentong akan bermula pada April ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Mengenai pembinaan Terowong Genting sepanjang 16.39 km, Darwis berkata, kerja pengorekan terowong telah mencapai jarak 14.3 km sejak ia dimulakan pada Jun 2022.
“Terowong Genting dijangka mencapai penembusan pada Mei tahun ini,” katanya.
Kemajuan keseluruhan projek ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sudah mencapai 78.5 peratus setakat bulan lepas.