Sukan

Terengganu FC Gagal Layak Ke Separuh Akhir ACC 2024/25 Selepas Kalah Kepada BG Pathum United

Safawi Rasid (kanan) meledak gol pada minit ke-93 dan menjaringkan gol kedua peribadinya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-98, namun gagal menghalang kemenangan pasukan lawan. (Gambar: Terengganu FC)

KUALA LUMPUR: Terengganu FC gagal layak ke separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 selepas tewas 3-4 kepada wakil Thailand, BG Pathum United dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium BG, Pathum Thani malam tadi.

Terengganu yang berada di tempat kedua sebelum perlawanan, terpaksa menerima kekalahan itu, sekaligus menghapuskan impian anak buah Badrul Afzan Razali untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mereka jatuh ke tempat keempat dengan mengumpul tujuh mata, berkongsi mata dengan PKR Svay Rieng FC dari Kemboja yang berada di tempat ketiga.

Juara kumpulan, Pathum United, mengumpul 11 mata, manakala naib juara, PSM Makassar dari Indonesia, meraih 10 mata. Kedua-dua pasukan ini layak ke separuh akhir.

Perlawanan semalam menyaksikan aksi menarik dengan tujuh gol dijaringkan, bermula dengan gol pembukaan Terengganu oleh Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-66.

Tuan rumah yang beraksi di bawah ketua jurulatih baharu, Anthony Hudson, bangkit dengan dua gol daripada penyerang import Brazil, Raniel Santana pada minit ke-71 dan ke-76.

Pemain tengah Jepun, Gakuto Notsuda, meledak gol ketiga untuk The Rabbits pada minit ke-83 diikuti dengan gol keempat oleh Ilhan Fandi dari Singapura pada minit ke-87.

Terengganu berjaya merapatkan kedudukan dengan gol daripada Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-93 dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-98, namun itu tidak cukup untuk menghalang kemenangan pasukan tuan rumah.

Sementara itu, dalam baki perlawanan Kumpulan A, PSM Makassar mengalahkan Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam 3-0 manakala PKR Svay Rieng menewaskan Shan United FC dari Myanmar 4-2.

PSM Makassar dijadualkan bertemu juara Kumpulan B, Cong An Hanoi dari Vietnam dalam separuh akhir, sementara BG Pathum United akan bertemu naib juara Kumpulan B yang kini masih dipertandingkan antara Buriram United, Kuala Lumpur City FC dan Borneo FC.

Related posts
Sukan

Kemalangan di SIC: Jorge Martin Alami Patah Tangan dan Kaki

Jorge Martin terjatuh akibat hilang kawalan jentera semasa Ujian Pramusim MotoGP 2025 di Litar…
Read more
Sukan

Rashford Sertai Aston Villa Secara Pinjaman Hingga Akhir Musim

Rashford yang digugurkan daripada skuad United pada Disember pernah menjelaskan bahawa mahukan…
Read more
Sukan

Piala Malaysia: Sri Pahang atasi Sabah 3-2, bakal cabar JDT di pentas final

Kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi di final Piala Malaysia adalah pada 2014, apabila muncul juara…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *