
HATAY, 08 Februari 2023 – Pelabuhan Iskenderun, Turkiye, ‘disambar’ api besar pada petang Selasa, susulan gempa bumi kuat melanda tenggara negara itu pada Isnin.
Menurut media antarabangsa, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye pada hari Isnin memberi impak ketara ke atas pelabuhan, menumbangkan timbunan kontena dan menyebabkan “kerosakan struktur yang teruk.”
Rakaman video di media sosial menunjukkan bahawa ia merebak ke segmen besar susunan storan terminal.
Kumpulan perkapalan kontena dunia AP Moller Maersk berkata, kerosakan teruk berlaku terhadap infrastruktur logistik dan pengangkutan di sekitar pusat gempa, termasuk di pelabuhan Iskenderun.
“Kami perlu menukarkan destinasi semua kapal yang menghala ke pelabuhan itu ke hab berhampiran termasuk pelabuhan Mersin (di Turki) dan Said (Mesir),” menurut kenyataan syarikat.
Sumber berkata, berdasarkan asap dan api yang dilihat, kebakaran itu berkemungkinan berpunca daripada kontena berisi minyak perindustrian.
Perbandaran Metropolitan Istanbul melaporkan, setakat pagi tadi, kebakaran di Pelabuhan Iskenderun telah berjaya dikawal dan tidak lagi merebak.
“Kami menjangka ia akan dipadamkan sepenuhnya dalam masa 24 jam akan datang.”