Umum

YB Pendang berang Dr Zaliha ‘langgar’ kawasannya

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini hangat seketika apabila Ahli Parlimen Pendang menyifatkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebagai tidak beradab kerana ‘melanggar’ masuk kawasannya.

Ketika membahaskan usul Titah Diraja, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) secara tiba-tiba menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Dr Zaliha kerana turun ke Hospital Pendang tanpa memaklumkan kepadanya atau kerajaan negeri Kedah.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menyifatkan Dr Zaliha sebagai tidak beradab dan tiada akhlak, selain perlu menghormatinya sebagai Ahli Parlimen Pendang yang menerima mandat daripada lebih 75 peratus pengundi dan menang dengan majoriti lebih 30,000 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya bukanlah nak bermegah. Lebih 75 peratus daripada keseluruhan pengundi di Parlimen Pendang telah mengundi saya dengan majoriti hampir 32,000 undi.

“Jadi saya fikir Menteri Kesihatan kena ambil perhatian sikit bila turun ke Hospital Pendang, jangan dok langgar tak ketahuan hala sangat.

“Saya tahu arahan daripada ‘jeneral maulud Putrajaya’ menyebabkan Menteri Kesihatan yang tak beradab ini turun tanpa memberitahu. Tak ada akhlak,” katanya.

Kenyataan keras Awang itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen kerajaan, dengan Azli Yusof (PH-Shah Alam) bangun meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengarahkan Ahli Parlimen Pendang itu menarik balik kenyataan terbabit.

Ramli kemudian meminta Awang menarik balik kenyataan itu, namun Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu membantah kerana menyifatkan kenyataan ‘tiada akhlak’ sebagai tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tak ada masalah. (Saya sebut) tak ada akhlak, bukan saya kata nama binatang. Macam Yang Berhormat Hulu Langat kata pada saya pun saya boleh terima, ini saya kata ‘tak ada akhlak’, bukan saya maki,” katanya.

Awang kemudian mencabar Ramli memperincikan peraturan mesyuarat yang didakwa dilanggarnya dan mahu terus berbahas, sebelum ditegur Ramli yang meminta Ahli Parlimen Pendang itu menghormatinya yang sedang mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

“Sila lihat Peraturan 36 iaitu ahli Dewan tidak dibenarkan menyebut nama atau merujuk sesuatu secara spesifik. Yang Berhormat sebut Menteri Kesihatan, itu spesifik.

“Jadi saya minta jasa baik, tarik balik,” katanya sebelum Awang akur dan menarik balik kenyataan itu.

Pada 16 Januari lalu, Awang dilaporkan kesal apabila kerajaan negeri Kedah tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang yang dihadiri Dr Zaliha pada 12 Januari.

Beliau mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman serta beliau sepatutnya dijemput sama dalam program terbabit, namun tiada sebarang jemputan diterima.

Sumber : Berita Harian

Related posts
Umum

PDRM Guna Teknologi 3D Untuk Siasatan Semula Kes Teoh Beng Hock

Mohd Shuhaily keluar dari bangunan selepas melawat semula tempat kejadian siasatan kes Teoh Beng…
Read more
Umum

AI Seperti DeepSeek Dorong Pertumbuhan Pusat Data di Malaysia

Gobind Singh berucap pada majlis pelancaran teknologi 5G Advanced pertama Malaysia di portal my5G…
Read more
Umum

Anwar Ibrahim Terima Kunjungan Hormat Dr Omar Suleiman di Parlimen

Anwar menerima empat kunjungan hormat, termasuk dari Omar (gambar) di Bangunan Parlimen, Kuala…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *