Gugur Ditembak Penjenayah, Polis AS Beri Penghormatan Terakhir Besar-Besaran Untuk Graffit
Komuniti penguatkuasa undang-undang kini sedang berkabung selepas salah satu anjing K9 bernama Graffit terkorban akibat ditembak penjenayah ketika menjalankan tugas, lapor CBS News.
Anjing itu terbunuh selepas melindungi pengendalinya dan cuba menangkap suspek bersenjata yang melarikan diri daripada polis.
Graffit, seekor anjing Shepard Jerman yang berusia 10 tahun merupakan pegawai K9 yang paling lama berkhidmat di jabatan itu.
Dia mula menyertai pasukan tersebut pada 2015 dan terbunuh ketika menjalankan tugas pada Isnin lalu.
Kehilangan Graffit diperlakukan sama seperti kehilangan seorang pegawai manusia.
Pada pagi Isnin, penguatkuasa undang-undang dari seluruh negeri telah memberikan penghormatan terakhir kepada Graffit.
“Dia mungkin mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan seorang pegawai polis dan dengan itu, atas sumbangan mereka dan segala latihan yang diberikan kepada anjing dan pengendali, saya hanya mahu memastikan mereka turut dihormati,” kata Tracy Houge.

Pengarah Hal Ehwal Awam di Sheriff Jefferson County, Jenny Fulton, berkata, “Kami menghantar anjing untuk turut serta dalam operasi supaya boleh menangkap dan secara amnya dapat mengelakkan daripada tragedi seperti ini.
Fulton berkata penguatkuasa undang-undang biasanya akan menutup lencana mereka untuk menghormati pemergian Graffit, tetapi mereka baru sahaja melakukan perkara itu untuk menghormati pemergian Julian Becerra, seekor pegawai K9 di Fountain, Colorado yang meninggal dunia semasa bertugas hujung minggu lalu.
Suspek melepaskan tembakan
Menurut laporan CBS News, kejadian itu bermula selepas tengah malam Isnin.
Graffit dan pengendalinya dipanggil untuk membantu polis Golden dan polis kampus di Colorado School of Mines dalam mengejar suspek bersenjata berhampiran kolej.
Polis kampus meminta bantuan daripada polis Golden selepas mendapati seorang lelaki yang berada dalam kereta dilihat tidak sedarkan diri sebelum polis cuba untuk mengejutkannya.
Apabila lelaki itu tersedar, polis berkata dia dapat melepaskan dirinya daripada seorang pegawai polis.
Semasa polis mengejarnya, suspek dikatakan mengacukan sepucuk pistol ke arah mereka.
Suspek kemudiannya melepaskan tembakan dan terkena anjing K9 tersebut sehingga menyebabkan ia terbunuh.
“Dia sempat memaklumkan keberadaan suspek, yang bermaksud bahawa pada dasarnya dia menyalak dan dia telah berjaya melakukan tugasnya, kata Fulton.
“Anjing itu diberikan arahan untuk menangkap suspek tetapi malangnya dia ditembak dan dibunuh,” sambungnya.
Susulan daripada itu, amaran di tempat perlindungan dikeluarkan kepada semua individu yang berada di kampus kolej sementara polis memburu suspek.
Sebelum jam 5 pagi, suspek dilaporkan telah keluar dari tempat persembunyian dan menyerah diri kepada pihak polis.
Kampus kolej telah ditutup pada waktu pagi tetapi dibuka semula pada tengah hari Isnin.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Sheriff Daerah Jefferson mengatakan bahawa Graffit telah setia berkhidmat kepada JSCO sejak 2015.
Graffit dilatih dalam pengesanan narkotik dan fungsi rondaan seperti pengesanan dan penahanan.
Difahamkan bahawa anjing K9 itu adalah seekor anjing yang berdedikasi, menurut pengendalinya sebelum ini, “sentiasa memberikan 110%”.
“Hari ini, dia menyerahkan nyawanya untuk melindungi nyawa pengendalinya dan pegawai lain di tempat kejadian,” tulis kenyataan tersebut.
“Kami sentiasa tahu Graffit seekor anjing yang berani dan kini kami tahu dia adalah wira. RIP Good Boy. Kami pasti akan merinduimu,” tulisnya lagi.
Mayat Graffit dibawa dalam perarakan dari tempat kematiannya ke Fort Collins lewat pagi Isnin.
Bedah siasat akan dilakukan pada haiwan itu di pusat veterinar Colorado State University.
Menurut Sheriff, suspek yang membunuh anjing K9 biasanya akan dihadapkan dalam satu pertuduhan jenayah khas.
Sumber : CBS News