Umum

Jana Wibawa: Wan Saiful mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah

Wan Saiful didakwa dua pertuduhan rasuah berhubung inisiatif Jana Wibawa. – Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di ibu negara pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Dia juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya, ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta.

Wan Saiful, 48, itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, dia dituduh meminta rasuah berbentuk suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra-Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Wan Saiful, yang merupakan Ahli Parlimen Gelugor, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694 pada 08 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan dia diarahkan melaporkan kepada ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

Kes akan disebut semula 22 Mac 2023.

Wan Saiful ditahan pada Isnin malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Turut didakwa Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad.

Sumber : Astro Awani

Related posts
Umum

PDRM Guna Teknologi 3D Untuk Siasatan Semula Kes Teoh Beng Hock

Mohd Shuhaily keluar dari bangunan selepas melawat semula tempat kejadian siasatan kes Teoh Beng…
Read more
Umum

AI Seperti DeepSeek Dorong Pertumbuhan Pusat Data di Malaysia

Gobind Singh berucap pada majlis pelancaran teknologi 5G Advanced pertama Malaysia di portal my5G…
Read more
Umum

Anwar Ibrahim Terima Kunjungan Hormat Dr Omar Suleiman di Parlimen

Anwar menerima empat kunjungan hormat, termasuk dari Omar (gambar) di Bangunan Parlimen, Kuala…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *