
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan tindakan seorang wanita berpangkat Inspektor yang mencemuh seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis lalu (15 Jun).
Tidak hanya itu, turut tular dua lagi hantaran video yang dimuat naik di media sosial memaparkan tindakan pegawai polis berkenaan yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ bertengkar dengan orang awam.
Inspektor cemuh lans koperal sudah ditahan polis dan diikat jamin
Susulan itu, wanita berusia 35 tahun itu telah ditahan polis pada Ahad lalu (18 Jun) untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil selain telefon bimbitnya dirampas.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar, suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja siasatan lengkap dijalankan. Ini kerana ada beberapa lagi laporan yang turut diterima terhadap suspek sama.
Tular lagi video Inspektor Sheila cemuh Lans Koperal
Pun begitu, semalam tular pula video yang memaparkan tindakan wanita itu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mencemuh seorang lagi anggota berpangkat Lans Koperal.
Dalam video berdurasi 40 saat itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur.
“Nama encik siapa, pangkat apa? Lans koperal, banyaknya lans koperal saya bertemu hari ini.
“In charge siapa, you incharge ke? Minta SM (sarjan mejar) datanglah saya inspektor…lans koperal kan? Pergi panggil SM.
“Jangan lans koperal bagi saya arahan… jangan ingat saya takut… pangkat lagi tinggi bagi arahan… jangan main-main dengan aku,” katanya dalam video itu.
Tular video polis cemuh dan hina anggota pangkat lans koperal di kawasan awam
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang polis wanita mencemuh dan menghina seorang anggota berpangkat Lans Koperal di kawasan awam sekitar Gombak, Selangor.
Penularan video tersebut telah mencetuskan kontroversi di mana rata-rata pengguna media sosial mengecam teruk tindakan polis wanita tersebut.