
Dua lelaki dalam rakaman tular yang dipercayai memukul seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di sebuah kedai sekitar Bandar Rinching, Semenyih semalam, telah ditahan polis hari ini.
Suspek yang berusia antara 31 dan 32 tahun telah ditangkap di dua kawasan berbeza iaitu di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor. Polis turut merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Ketua Polis Daerah Kajang,Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa berusia 18 tahun pada jam 7.43 pagi tadi.
“Menurut mangsa dalam kejadian jam lebih kurang 5 pagi, suspek bersama rakannya telah memasuki premis untuk membeli minuman “Kemudian salah seorang suspek telah mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran menyebabkan mangsa menegur perbuatan itu.
Jelas beliau, tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa. “Suspek kembali ke dalam premis lalu mangsa ditumbuk di bahagian muka dan kemudian beredar. “Mangsa yang mengalami kecederaan telah mendapatkan rawatan di hospital sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai satu jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh mencecah dua puluh tahun, dan denda atau sebat,” katanya.