
Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja kontroversi melanda yang melibatkan nama mereka yang masih aktif bermain mahupun mereka yang sudah bersara dari arena bola sepak.
Terbaru, seorang bekas pemain bola sepak yang juga merupakan mantan kapten bagi skuad Harimau Malaya sekitar tahun 2000 yang lalu ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dengan kesalahan menceroboh bilik di sebuah hotel di ibu kota.
Menurut laporan Harian Metro, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan tindakan agresif bekas pemain bola sepak itu hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan sewaktu kejadian.
Difahamkan, bekas pemain bola sepak itu sudah pun ditahan polis bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Terdahulu, tular mengenai kes seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka.
Susulan itu, pemain yang bermain di posisi pertahanan itu didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya, dua minggu lalu.