
Tidak semua orang di atas muka bumi ini mempunyai nasib atau tuah yang baik dalam menjalani kehidupan.
Terkadang, sesuatu perkara yang tidak dijangka itu boleh datang tanpa diduga hanya dengan tersebarnya tentang keunikan diri seseorang.
Perkara itulah yang telah terjadi kepada seorang gelandangan di Amerika Syarikat yang memiliki bakat unik dan luar biasa.
Gelandangan yang bernama Ted Williams itu telah berjaya memperoleh populariti menerusi suaranya yang unik.
Perkara itu tercetus pada tahun 2011 yang lalu, di mana beliau menjadi rebutan ramai pihak untuk menggunakan suara emasnya sebagai ‘voice-over’.
Siapa itu Ted Williams?
Sebelum itu, mari kita kenali terlebih dahulu siapa itu Ted Williams yang berjaya menjadi bualan ramai sekitar tahun 2011 yang lalu.
Williams dilahirkan pada tahun 1957 dan dibesarkan di Brooklyn, New York. Inspirasinya untuk menjadi juruhebah radio datang selepas dia melawat sebuah stesen radio.
Lawatan itu telah membuka matanya kerana dia berpendapat bahawa suara pengacara radio yang sering dia dengar di dalam radio tidak sepadan dengan apa yang dia lihat secara berhadapan.

Dia memulakan kariernya bersama Angkatan Bersenjata AS dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Penyiaran Central Ohio untuk memperhalusi suaranya.
Williams kemudiannya bekerja di pelbagai stesen radio di Columbus dan North Carolina.
Namun begitu, penglibatannya dengan dadah dan alkohol akhirnya menyebabkan dia menjadi gelandangan. Dia telah berpindah dan meninggalkan keluarganya lalu tinggal di jalanan.
The Columbus Dispatch pernah melaporkan berkenaan cerita Williams dan menyiarkan video itu di laman web mereka pada 3 Januari 2011.
Selepas video itu disiarkan di laman itu, ia juga telah dimuat naik di YouTube pada hari yang sama.
Video tersebut telah menjadi bualan ramai dan mencipta sensasi di seluruh dunia.
Mendapat peluang pekerjaan mencurah-curah
Susulan video muat naik itu, Williams telah ditawarkan dengan peluang pekerjaan yang mencurah-curah.
Peluang terbesarnya ialah bersama Cleveland Cavaliers selepas dia ditawarkan pekerjaan tetap berserta sebuah rumah kepadanya.
Setelah popularitinya menerjah di seluruh Amerika, salah satu penampilan rancangan bual bicara pertama Williams adalah bersama dengan syarikat CBS.
Dalam temu bual itu, Williams menceritakan pengalamannya yang memperolehi populariti secara tiba-tiba dan mengubah hidupnya.
Williams berazam mahu membantu gelandangan yang tidak bernasib baik
Memetik NBC News, selepas mendapat kemasyhurannya, dia kini merancang untuk membantu gelandangan yang tidak bernasib baik sepertinya dahulu.
“Ramai gelandangan, ramai yang masuk penjara. Tidak ada yang lebih buruk daripada dipenjarakan dengan tidak berstokin apatah lagi dengan perubahan cuaca sejuk dan sebagainya,” kata Williams yang mempunyai pengalaman sebanyak 58 kali di sebalik jeriji penjara.

Pengalamannya itu telah menyebabkan Williams bertekad mahu membantu gelandangan agar tidak merasai pengalamannya yang lalu.
“Saya mahu membuka kedai dobi untuk gelandangan. Kebanyakan gelandangan membuang pakaian mereka dan berjalan dengan membawa berpuluh pakaian yang tidak pernah berada dalam keadaan yang baik,” kata Williams lagi.
Dia membayangkan kedai dobi itu dengan atendan sukarela membasuh dan mengeringkan pakaian gelandangan supaya mereka berpeluang untuk kembali bekerja.
Pada masa lapangnya, Williams gemar memberikan ucapan motivasi kepada orang ramai di seluruh negara terutamanya di hadapan kanak-kanak.
“Saya menikmati masa lapang saya dengan perkara yang bermanfaat,” katanya.
“Kanak-kanak tidak mahu berpisah dengan media sosial. Apabila saya muncul di tempat kejadian, mereka seperti ‘Oh lihat, itu lelaki gelandangan dengan suara itu!” kata Williams lagi.
Kini Williams adalah salah satu nama besar dalam bidang ‘voice-over’ dan menerima pelbagai tawaran produk di peringkat antarabangsa.
Antara produk yang pernah menggunakan suara emas Williams adalah Pepsi dan Kraft Mac and Cheese.